Ahli politik merupakan sebahagian daripada kira-kira 80,000
pembayar cukai individu dan pemilik syarikat perniagaan yang
dikenalpasti gagal membayar cukai selain tidak melaporkan mahupun
mengembalikan borang cukai pendapatan, menurut Lembaga Hasil Dalam
Negeri (LHDN).
"LHDN juga telah mengenal pasti individu terbabit adalah mereka yang mempunyai pendapatan dan gaji tetapi tidak mengembalikan borang cukai pendapatan atau tidak melaporkan pendapatan sampingan lain seperti komisen, sewa, dan perniagaan secara dalam talian.
"Ini termasuk ahli politik, namun, kami tidak boleh mendedahkan identiti mereka... mereka antara 80,000 individu dikenal pasti gagal melaporkan pendapatan dan LHDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 79 supaya mereka tampil berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar Program Khas Pengakuan Sukarela di Kota Kinabalu.
Mengenai program itu, Sabin berkata, LHDN Sabah merekodkan seramai 148 pembayar cukai daripada pelbagai kategori di negeri ini telah membuat pengakuan sukarela sehingga semalam yang melibatkan cukai tambahan dan penalti ditaksir kira-kira RM8.1 juta.
Sabin berkata LHDN menawarkan kadar penalti rendah antara 10 peratus hingga 15 peratus kepada mana-mana pembayar cukai tampil membuat pengakuan sepanjang program itu berlangsung sehingga 30 Jun tahun depan dan selepas itu kadar penalti asal antara 80 peratus hingga 300 peratus akan dikenakan bermula 1 Julai 2019.
Beliau berharap pembayar cukai terutama yang mempunyai isu pematuhan cukai akan memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan.
Sementara itu, Sabin berkata, kutipan cukai direkodkan di Sabah setakat November ini meningkat 1.53 peratus atau RM55 juta kepada RM3.666 bilion berbanding RM3.611 bilion tempoh sama tahun lepas.
Dalam pada itu, seramai 1,841 individu di Sabah telah dikenakan tindakan sekatan ke luar negara antara Januari hingga November tahun ini melibatkan jumlah cukai sebanyak RM130.2 juta.
Terdahulu, Sabin turut menyaksikan majlis serah terima tugas antara Pengarah LHDN Sabah, Suhaili Sudin dan Pengarah Profiling dan Perisikan LHDN, Datuk Hajam Lajah Alam.
Hajam akan menggantikan Suhaili berkuat kuasa 1 Jan 2019.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan