KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik mendakwa campur tangan institusi diraja dalam perkara berkaitan politik, perniagaan dan ekonomi di negara semakin luas sehingga menyebabkan ia ditentang pihak tertentu.
Syed Husin Ali mendakwa, disebabkan keadaan itu instititusi diraja pada ketika ini akan menyokong mana-mana pihak yang dilihat masih berpegang pada kepercayaan feudal dan mengangkat golongan berkenaan.
“Raja sekarang ini makin banyak menentang dan menceroboh perlembagaan, sedangkan raja tidak boleh campur tangan dalam politik, perniagaan dan ekonomi, tetapi itulah yang banyak dilakukan. Makin bertambah campur tangan politik.
“Dalam dunia ini ada tidak sampai 30 orang raja, satu pertiga daripadanya berada di Malaysia. Antara negara yang mempunyai raja seperti Sweeden, Denmark dan Jepun, mereka meratifikasi (Statut Rom), cuma raja-raja di Malaysia sahaja takut untuk meratifikasinya.
“Mereka rasa kedudukan terancam. Ada golongan rakyat yang rasa tidak perlu lagi raja. Perasaan ini semakin bertambah dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Berucap di forum awam bertajuk “Malaysia dan Statut Rom” di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Syed Husin berkata, sebahagian masyarakat Melayu juga bimbang dengan kedudukan mereka sebagai golongan majoriti di negara ini akan tergugat.
“Perkara ini tertanam dalam diri kita dan disebabkan itu kita percaya kepada kuasa raja-raja. Tentang perkauman, kita dapati walaupun orang Melayu paling ramai, tapi malangnya mereka dalam keadaan ketakutan.
“Segelintir pemimpin terkapai-kapai untuk beri kekuatan kepada rakyat dan juga dirinya sendiri. Itu sebab mereka gunakan isu perkauman, agama dan sekarang ini soal Statut Rom. Mereka gunakan ini untuk kuatkan raja dan diri mereka,” katanya.
Jelas Syed Husin, penentangan di antara rakyat biasa terhadap golongan beraja bukanlah perkara baru dan bukan dilakukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad seorang, sebaliknya pernah dilakukan pemimpin terdahulu.
“Penentangan raja dan menteri besar sudah berlaku di Johor. Apabila Onn Jaafar tidak setuju, penentangannya menyebabkan beliau dilucutkan kerakyatan dan dibuang negeri ke Singapura.
“Di Pahang, menteri besar Abdul Rahim Bakar tidak bersetuju dengan sultan berhubung isu balak.
Beliau menentangnya dan sultan pula cuba menyekat bajet kerajaan. Apabila Dr Mahathir jadi perdana menteri, dia lucutkan jawatan Abdul Rahim.
“Di Perak, menteri besar Ghazali Jawi pula tidak disukai sultan. Sultan memutuskan untuk menimpan janggut dan tidak akan mencukurnya kecuali Ghazali meletakkan jawatan,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Husin berkata, tentangan Dr Mahathir terhadap golongan diraja lebih memberi impak, sehingga Mahkamah Khas bagi membicarakan kesalahan dan salah laku kerabat diraja ditubuhkan.
“Tentangan Dr Mahathir lebih besar kesannya. Dahulu Mahkamah Khas sudah dibentuk untuk raja-raja. Kemudian misalnya kalau ada keputusan Parlimen yang ditolak raja, ia akan dihantar semula ke Dewan Rakyat.
“Kemudian apabila ia dihantar semula kepada raja, sama ada raja terima atau tidak, ia akan menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan. Ertinya, kuasa raja semakin kurang,” katanya.
Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini lantang mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom yang dikhuatiri boleh menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini.
Tambahnya, Putrajaya melakukan perkara yang tidak berperlembagaan berhubung isu ratifikasi Statut Rom apabila instrumen itu ditandatangani tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
Sehubungan itu, pada 4 Mac Dr Mahathir memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang telah ditandatangani.
Bagaimanapun Kementerian Luar Negeri berkata, kerajaan masih belum mengalah dalam usaha meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) meskipun terdapat pihak yang cuba memanipulasi perjanjian tersebut.
Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan mendedahkan usaha pihak terbabit yang menakut-nakutkan masyarakat dengan menyebarkan fakta yang salah mengenai perjanjian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan imej satu dokumen yang dikemukakan kepada Raja-raja Melayu yang menurut mereka mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan meratifikasi Statut Rom.
Imej didedahkan pelajar berkenaan dikatakan menunjukkan kandungan satu memorandum 10 halaman yang disediakan oleh 4 ahli akademik yang menggariskan peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong serta liabiliti baginda di bawah Statut Rom.
Empat penulisnya mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan sebagai pemerintah tertinggi tentera Malaysia.
Menurut mereka, Agong memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera dan melampaui peranan sebagai ketua lambang atau istiadatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan