SHAH ALAM: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak ada masalah dengan fenomena ‘Bossku’ yang dicetuskan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketika ini, sambil dirinya dipalit skandal dan pelbagai pertuduhan pecah amanah, Najib berusaha untuk turun padang bertemu rakyat membawa jenama ‘Bossku’ itu dalam usaha memulihkan imejnya.
Kata Khairy, Najib berhak untuk mempertahankan dirinya tetapi tidak harus terlalu berusaha untuk menegakkan benang yang basah.
“Pandangan peribadi saya, kita mesti ada kompas moral. Saya harap kalau ada usaha untuk mempertahankan diri sebagai individu, itu tidak melibatkan UMNO secara rasmi.
“Kalau orang UMNO nak pergi (acara turun padang ‘Bossku’) tak apa, tetapi jangan sekali-kali kaitkan dengan UMNO,” tegas beliau semasa sesi Bicara Minda Sinar Harian di sini hari ini.
Jelasnya, UMNO perlu bergerak ke hadapan dan buktikan kepada rakyat bahawa mereka sudah belajar dari kesilapan lalu selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Pada masa sama, kata Khairy, perlu ditunjukkan bahawa perjuangan parti keramat itu bukanlah bersandarkan populariti sahaja untuk memenangi hati seterusnya undi daripada rakyat.
“Kita kena tunjuk kepada masyarakat Melayu, khususnya, bahawa kita ada nilai.
“Kalau dah silap, mengakulah kesilapan tersebut,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan