HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2019

Raja dihormati jika tak campur tangan soal k'jaan, kata Redzuan


   
Raja akan dihormati rakyat sekiranya baginda tahu akan kedudukan dan peranannya serta tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata pihak yang mempertikai pentadbiran hari ini perlu belajar kembali memahami perlembagaan negara.

Mohd Redzuan bagaimanapun tidak menyebut secara khusus kepada mana-mana raja.

"Saya cuma boleh nasihatkan raja yang disanjung adalah daripada yang (bersama) rakyat.

"Kalau dia (baginda) mahu diterima dan dihormati rakyat dia kena duduk di situ (takhta) sebagai raja, tak perlu campur tangan dalam hal tadbir urus negara," katanya ketika ditemui wartawan.

Redzuan berkata demikian selepas sesi temu bual sempena satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Situasi politik negara ketika ini sedang menyaksikan perselisihan kerajaan pusat, khususnya membabitkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan golongan istana.

Perselisihan itu antara lain berhubung isu konvensyen dan undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Redzuan menyifatkan krisis antara istana Johor dan Putrajaya itu adalah bersifat sementara.

"Nasihat saya kepada yang tidak mempersetujui pertadbiran hari ini kena buka buku belajar balik, yang bercakap itu pun orang muda.

"Dia kena tahu apa yang berlaku yang lepas dan rakyat hari ini rata-rata mahu satu pentadbiran yang berlandaskan perlembagaan negara, jadi kita tak perlu nak besar-besarkan cerita," tambahnya.

Ketika ditanya "orang muda" yang dimaksudkan, Mohd Redzuan enggan menyebutkan nama dan sekadar berkata: "Saya sebut secara umum, saya fikir semua orang maklum".

Tiada ulasan: