HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 April 2019

Kegagalan inkues Muhamad Adib, Perkasa gesa kerajaan tubuh RCI

Manzaidi Mohd Amin
Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sekali lagi mendesak kerajaan memberi keutamaan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, selepas lebih empat bulan Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia angkara rusuhan kuil di Sri Maha Mariamman November lalu, penjenayah terbabit masih bebas tanpa sebarang tindakan diambil.

“RCI ini perlu ditubuh segera kerana kredibiliti dan integriti inkues sudah pun tercalar dan mencemar institusi kehakiman.

“Keterangan yang telah dimanipulasi pasti memberi impak negatif dan tidak boleh diperakui dalam keputusan inkues jika ia tetap diteruskan,”

“Lebih menjengkelkan apabila dua pakar forensik yang juga saksi prosiding inkues membuat laporan polis berhubung ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian mereka,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Peguam Negara memfailkan afidavit mengenai kematian Muhammad Adib juga merupakan tindakan tidak sepatutnya berlaku kerana mendahului keputusan inkues yang sedang berlangsung.

Jelas beliau, ia juga bersifat seperti tidak menghormati kemuliaan mahkamah.

“Oleh itu, Perkasa berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melaung-laungkan  ‘rule of law’ jangan cakap tidak serupa bikin.

“Sebaliknya memandang serius hal ini dan segera menubuhkan RCI bagi mengenalpasti petualang di belakang kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Tiada alasan untuk tidak mewujudkan RCI ini kerana jelas saksi inkues telah dipengaruhi bagi memberi penilaian tidak tepat dan sesuai mengikut penelitian mereka,” ujarnya.

Nasrul Ali berkata, Perkasa akan terus mendesak bagi memastikan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mendapat pembelaan sepatutnya dan penjenayah menerima hukuman setimpal.

Beliau turut menyatakan, gesaan menubuhkan RCI itu pernah dinyatakan Presiden Perkasa, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali sebelum ini kerana menjangkakan ketidakadilan akan berlaku jika hal kematian anggota bomba itu tidak dipandang serius. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: