HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 April 2019

Peguam negara harus letak jawatan

   
Peristiwa kekecohan yang berlaku di Kuil Maha Mariaman di Subang Jaya yang telah mengakibatkan kematian seorang kakitangan bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kini masih dalam proses inkues. Walaupun pihak polis telah menjalankan siasatan dan sudah mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh namun pihak peguam negara menolaknya dan meminta inkues dijalankan. Ramai pihak tidak setuju tetapi entah kenapa pejabat peguam negara tetap meneruskannya.

Kini sekali lagi rakyat keliru apabila pejabat peguam negara mengeluarkan afidavit yang mengatakan Adib tidak dipukul walaupun proses inkues masih berjalan. Ketika mahkamah masih menjalankan siasatan dengan memanggil pelbagai saksi sehingga hari yang ke-50 namun peguam negara sudah membuat satu kesimpulan. Sudah pasti ini mengejutkan ramai pihak baik pengamal undang-undang mahupun rakyat marhaen.

Pelbagai persoalan mula timbul antaranya:
  • Kenapa peguam negara terlalu cepat membuat rumusan?
  • Apa bukti yang mereka ada sehingga berani membuat keputusan demikian sedangkan banyak bukti yang menunjukan sebaliknya?
  • Adakah ada campur tangan pihak luar untuk peguam negara membuat keputusan?
Tommy Thomas
Kalau kita imbas kembali tentang kes ini, sebelum inkues dijalankan terdapat beberapa saksi yang menyatakan Adib telah dipukul, antaranya:
  • Siasatan oleh pihak polis yang telah mengklasifikasikan bahawa ini adalah kes pembunuhan malah suspek telah dikenal pasti. Namun, mereka telah dibebaskan atas jaminan polis.
  • Keterangan dari pihak bomba yang menyaksikan sekumpulan orang yang sedang memukul Adib.
  • Seorang pembantu hospital yang pernah bertanya dengan Adib ketika merawatnya dan Adib mengaku yang beliau dipukul.
  • Pihak doktor di Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan pada peringkat awal bahawa Adib dipukul, namun kemudian membuat u-turn semasa perbicaraan.
  • Pengakuan seorang jururawat yang membantu merawat Adib yang beliau nyatakan di dalam laman Facebook beliau namun kemudian membuat ‘u-turn’ semasa disoal siasat.
Dalam beberapa hari yang lepas, muncul pula berita penjelasan seorang pakar pathologi yang cukup berpengalaman (beliau adalah guru kepada seorang doktor pakar HKL yang mendakwa Adib tidak dipukul), dengan mengatakan bahawa Adib kemungkinan besar telah dipukul. Beliau telah memberikan hujah secara saintifik dan spesifik ke atas setiap kecederaan yang ada pada Adib di mana beliau menyatakan bahawa tidak munasabah jika Adib mati dilanggar oleh kenderaan bomba.
Ini kerana:
  • Terdapat kesan kecederaan akibat tendangan.
  • Mustahil kelajuan kenderaan yang sangat perlahan boleh menyebabkan tulang rusuk Adib patah.
  • Fakta bercanggah dalam laporan post-mortem.
  • Terdapat kesan Adib ditarik
Saya tidak bercadang untuk berbicara dari segi teknikal tetapi semua keterangan dan bukti ini menunjukkan bahawa ini merupakan sesuatu yang berbeza dengan apa yang dilaporkan dalam affidavit peguam negara. Biarlah inkues dihabiskan dahulu dan serahkan kepada pihak hakim membuat keputusan.
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim 
Ramai yang kecewa kerana pihak peguam negara begitu tergesa-gesa mengeluarkan affidavit yang membersihkan kesalahan ‘suspek’. Bayangkan apa perasaan keluarga Allahyarham Adib apabila membaca laporan affidavit tersebut. Difahamkan bahawa mereka kini sudah berada dalam keadaan trauma setiap kali isu Adib ini dibicangkan oleh masyarakat. Mereka benar-benar merayu agar pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional, telus dan adil. Mereka tidak mahu apa-apa ganjaran kerana mereka faham ini adalah takdir Ilahi tetapi apa yang mereka dambakan ialah kebenaran agar segala kerisauan dan persoalan ini dapat diselesaikan dengan segera.

Keterangan-keterangan yang bercanggah ini menimbulkan beberapa persoalan besar antaranya:
  • Adakah di sana wujud konspirasi di peringkat tertinggi untuk melindungi pesalah?
  • Adakah peguam negara terlibat?
  • Di mana disiplin peguam negara sebagai seorang peguam yang sepatutnya tahu akan peraturan perundangan?
Bagi saya, peguam negara harus lebih berhati-hati kerana kes ini menarik perhatian seluruh rakyat. Apa-apa kenyataan yang dibuat akan menimbulkan implikasi dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum.

Ramai juga yang menentang pelantikan beliau sebagai peguam negara dahulu kerana beliau dilihat tidak arif dalam bahagian jenayah tetapi hanya berpengalaman dalam kes-kes komersial dan ini sesuatu yang amat berbahaya kerana melibatkan nyawa manusia. Cuba bayangkan jika kesilapan-kesilapan seperti ini berlaku pada masa-masa hadapan, berapa banyak lagi nyawa manusia akan terkorban tanpa mendapat keadilan yang sebenar? Beliau juga difahamkan kurang fasih berbahasa kebangsaan dan ini sudah pasti menambah kerisauan rakyat kerana laporan-laporan rasmi negara kesemuanya adalah dalam bahasa kebangsaan. Apakah beliau akan tersalah faham membaca laporan polis yang ditulis dalam Bahasa Melayu?

Apa yang membimbangkan rakyat ialah ini bukan kali pertama tindakan peguam negara menimbulkan kontroversi. Sebelum ini sudah beberapa kali beliau membuat keputusan yang tidak boleh diterima dalam mana-mana norma perundangan:
  • Menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng walaupun perbicaraan belum bermula.
  • Salah menasihati kerajaan dalam meratifikasikan Statut Rom tanpa berbincang dengan Majlis Raja-raja sehingga menimbulkan kekecohan seluruh negara
Mungkin sudah tiba masanya untuk peguam negara melepaskan jawatan!


*AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).


Tiada ulasan: