HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2019

Mujahid: Saya tak pernah U-turn soal prinsip


   

WAWANCARA | Ketika berbicara tentang pendekatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri terhadap isu hubungan kaum di negara ini, Dr Mujahid Yusof menafikan tanggapan yang melihatnya membuat ‘pusingan-U’ dalam sesuatu keputusan.

U-turn tu orang kata, bukan kita yang U-turn. Saya tak pernah U-turn, saya sentiasa berpegang kepada prinsip,” tegasnya dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.

'U-turn' atau 'pusingan-U' merupakan istilah yang sering digunakan sejak setahun lalu oleh warganet, merujuk kepada tindakan patah balik oleh kerajaan terhadap dasar atau keputusan yang dibuat.

Tambah Mujahid, menegakkan prinsip, kadang-kala dia terpaksa melakukan sesuatu yang tidak popular.

“Saya perlu menjaga sensitiviti, sebab saya ada parlimen yang terdiri daripada orang-orang Melayu, dan saya jaga hal agama Islam. Tapi dalam waktu yang sama juga, ada pengundi saya yang bukan Islam.

“Jadi dalam kita nak jaga-jaga, berhati-hati itu, ini bukan bermakna kita nak kena gadai prinsip, (seperti) kata istilah hari ini U-turn,” katanya.


Beliau mengambil contoh perjumpaannya dengan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik bulan lepas yang mengundang sensasi kerana dilihat sesetengah pihak bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini yang tidak bersetuju dengan pendekatan dakwah Zakir.

Tahun lalu, Mujahid menyifatkan kaedah dakwah Zakir tidak sesuai di Malaysia.

Soal prinsip
 
Pendekatan ceramah Zakir sering dikaitkan dengan cara ceramah atau debat yang membandingkan Islam dengan agama lain dengan nada yang lantang.

“Orang kata, Mujahid dah sokong Zakir Naik. Ramai orang jumpa saya, paderi jumpa, pemimpin Buddha jumpa saya. Kan saya ni menteri yang nak supaya semua agama hidup dalam keadaan aman dan damai?

“Tapi pada waktu yang sama, bila saya membuat kenyataan bahawa dalam menjaga kepelbagaian di Malaysia, ada sesetengah yang dibawa cara dan kaedah itu tidak sesuai dengan realiti (negara). Di mana yang saya larinya (daripada prinsip)? Tak pernah.

“Syarat U-turn ialah kedua-duanya bertembung (bercanggah). Tapi ini tidak bertembung, yang ini menjaga realiti negara, yang ini meraikan tokoh yang datang bertemu seorang menteri,” katanya lagi.

Bagi Mujahid, persepsi U-turn seumpamanya menyebabkan ahli politik tidak mahu dilihat ke depan dalam membicarakan beberapa isu termasuk isu hubungan antara kaum yang sering dipandang sensitif dan tidak popular.

“Itulah rumitnya menjadi ahli politik di Malaysia, khususnya orang seperti saya, yang duduk dalam posisi yang panas, menteri agama.

“Apabila kita bercakap tentang benda-benda tadi (hubungan kaum), maka sekelompok dalam kalangan orang Islam Melayu kata dia ini tak ambil berat soal umat Islam.

“Apabila kita pula menyatakan komitmen untuk membina umat Islam yang lebih dihormati, yang sebelah bukan Islam pula kata, menteri ni dah berubah: dulu dia liberal, sekarang dia dah jadi konsorvetif.

“Tapi saya menjawab perkara itu dengan prinsip. Bukan soal liberal, soal konsorvetif. Dia soal prinsip,” katanya lagi.


Tiada ulasan: