ULASAN | Beberapa hari yang lalu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Soam Heng Choon memberi amaran bahawa negara ini bukan negara sosialis dan memberi teguran terhadap sebarang niat oleh kerajaan untuk mengawal harga perumahan.
Beliau berkata kita kena membenarkan pasaran bebas untuk menentukan harga barangan.
Inilah ketakutan seorang pemaju hartanah mengenai sosialisme, kerana dia takut harga perumahan akan dikawal supaya ia mampu dibeli oleh rakyat biasa, dan dalam ertikata keuntungan, kapitalis hartanah tidak dapat mendapat keuntungan maksimum.
Pada bulan Februari lalu, semasa pilihan raya kecil Semenyih, Perdana Menteri Tun Mahathir pula berkata bahawa sesetengah pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini harus mengubah cara pemikiran “sosialis” mereka dan tidak terus mengecam sistem kapitalis.
Beliau menegur segelintir orang dalam Pakatan Harapan dengan berkata bahawa mereka tidak seharusnya mengecam sistem kapitalis tersebut kerana sistem ini yang selama ini mengkayakan negara ini.
Kenyataan ini bukan sesuatu yang hairan datang daripada Tun Mahathir yang merupakan bapa penswastaan Malaysia, yang telah menswastakan pelbagai institusi awam seperti Lembaga Letrik Negara kepada Tenaga Nasional, Telekom dan lain-lain lagi kepada sektor swasta.
Bukan kali pertama
Ini bukan kali pertama Tun Mahathir mengecam sistem sosialis. Pada bulan April tahun lalu, Mahathir berkata bahawa mereka yang mahu tol dibatalkan adalah golongan sosialis dalam Pakatan.
"Kadang-kadang saya rasa mungkin kita tidak dapat menunaikan janji-janji ini. Parti kami, rakan pakatan kami, mereka sangat sosialis. Mereka suka memberi kepada rakyat.”
Kenyataan Mahahtir ini memberikan gambaran bahawa mereka yang mahu memberi kepada rakyat atau pro-rakyat ialah sosialis.
PSM mengemukakan permohonan untuk pendaftaran pada 30 April 1998, tetapi hanya dibenarkan untuk didaftarkan pada tahun 2008 – sepuluh tahun selepas itu, oleh pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu dalam satu penyelesaian di luar mahkamah.
Kuasa imperialis
Sejarah perjuangan masyarakat di Malaya dan Malaysia, sebahagian besarnya berkisar sekitar bagaimana puak kanan kapitalis cuba menafikan kebangkitan puak kiri untuk mengambilalih kuasa pemerintahan negara.
Walaupun Perang Dingin sudah berakhir dengan kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989, tetapi golongan kanan tetap takut akan kehilangan keuntungan dan kuasa ekonomi yang merupakan matlamat utama mereka.
Pada tahun 1948, Darurat diisytihar untuk menghancurkan golongan nasionalis kiri progresif yang diterajui oleh Putera-AMCJA.
Pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan untuk membawa masuk kepulauan Borneo dan Singapura di bawah kuasa imperialis Britis, hanya untuk menghalang dan menyekat kemaraaan pengaruh kuasa kiri komunis/sosialis yang mula merebak dari Utara Vietnam, Laos, Kemboja, Indonesia dan sebagainya.
Pada 1 Ogos 1960, iaitu sehari selepas Darurat 1948 ditamatkan, kerajaan Perikatan menggubal satu akta khas untuk terus menghancurkan golongan kiri, iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejak itu, ISA sering digunakan di Malaysia dan Singapura untuk mengekalkan kekuasaan parti pemerintah.
ISA diguna untuk hancurkan sosialis
Atas nama Konfrontasi dengan Indonesia, ISA digunakan untuk menghancurkan Barisan Sosialis di Malaysia dan di Singapura pada awal tahun 1960-an. Pada Julai bulan 1961, Tunku Abdul Rahman telah berkata, "Jika Pilihan Raya Persekutuan yang akan datang kelihatan seperti menghasilkan majoriti sosialis, pilihan raya tidak akan berlaku; elit Melayu akan menggunakan kawalan ke atas kuasa-kuasa pentadbiran dan keselamatan untuk mewujudkan satu pemerintahan diktator.
“ (“ if the next Federal Elections looked like producing a socialist majority, the election would not take place; the Malay elite would use its control of the administration and security forces to install a dictatorship.”)
Pada tahun 1974, gerakan Mahasiswa yang diterajui oleh Kelab Sosialis Universiti Malaya juga dihancurkan kerajaan dengan menggunakan ISA. Pada tahun 1987, Operasi Lalang digunakan untuk menghancurkan parti-parti pembangkang dan organisasi-organisasi progresif. Rasional yang digunakan adalah pembangkang dan aktivis ini telah diresapi oleh fahaman Komunis.
Hantu sosialis, komunis dikitar semula
Semasa gerakan Bersih 2.0 mendapat momentum kuat dan mula berpengaruh pada tahun 2011, kerajaan Umno-Barisan Nasional telah bertindak untuk menahan aktivis PSM dan cuba menggunakan pertuduhan menghidupkan semula Parti komunis Malaya (PKM) di negara kita sebagai alasan untuk penahanan 6 orang aktivis PSM di bawah Ordinan Darurat.
Peristiwa ini dikenali umum sebagai penahanan EO6. Walaupun amat jelas bahawa tindakan pemerintah hanya sekadar menggunakan alasan ini sebagai umpan untuk menghancurkan gerakan Bersih walaupun gerakan itu bukannya satu gabungan berhaluan kiri.
Maka, hantu sosialis atau komunis sering kali dikitar-semula untuk mewujudkan ketakutan.
Mengapa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan? Sejarah membuktikan bahawa semasa pilihan raya kerajaan tempatan, golongan sosialis mendapat kemenangan besar sehingga mereka dapat menguasai banyak majlis tempatan, maka majlis tempatan telah dibubarkan dan diambilalih oleh kerajaan negeri yang dikuasai Parti Perikatan.
10 tahun untuk daftarkan PSM
Mengapa Mahathir dan kerajaan BN sebelum ini mengambil 10 tahun untuk mendaftarkan PSM, walaupun dikatakan umum bahawa idelogi sosialis tidak lagi mempunyai pengaruh?
Semasa PSM akhirnya diberi pendaftaran pada tahun 2008, dan apabila ditanya pemberita, mengapa pihak pemerintah mengambil 10 tahun untuk mendaftar PSM, Menteri Dalam Negeri pada masa itu Syed Hamid Albar berkata bahawa negara China yang diperintah komunis pun sudah berubah jadi kapitalis, maka boleh dibenarkan PSM didaftar.
Mengapa pembasmian tol dikaitkan dengan sosialis? Mengapa penjual hartanah takut tentang sosialis? Mengapa PSM tidak dapat pendaftaran secepat parti Bersatu?
Bermatlamatkan keuntungan
Itulah sebabnya mereka tidak gentar dengan PH kerana PH tidak mengugat sistem kapitalisme.
Itulah juga jawapan kepada ramai rakan kita yang bertanya kenapa PSM tidak dipanggil untuk menyertai Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan.
Ini adalah kerana wujudnya pelbagai perbezaan antara cara sosialis melihat sesuatu isu berbanding kapitalis, sosialis mahukan golongan mahakaya dicukai untuk membiayai sistem pendidikan dan perubatan secara percuma.
Sosialis mahukan kerajaan memainkan peranan yang lebih dalam meningkatkan gaji pekerja biasa, tetapi pada masa yang sama menyekat gaji CEO dan keuntungan kapitalis yang melampau.
Sosialis mahukan rumah untuk orang tinggal, bukan rumah dilihat sebagai hartanah untuk meningkatkan harga rumah dan spekulasi. Sosialis mahukan penyertaan rakyat biasa dalam ekonomi dan lebih banyak demokrasi di peringkat bawahan – peringkat kampung dan kerajaan tempatan.
Manakala kapitalis mahukan polisi-polisi mereka mengenai penswastaan, pendidikan swasta dan perubatan swasta diberikan lebih peluang oleh kerajaan.
Semasa pilih raya umum pula, kapitalis dari China dan Arab sedia menaburkan wang yang begitu besar kepada parti politik haluan kanan. Adakah ini untuk memastikan rakyat di negara kita akan lebih selesa atau adakah ini untuk memastikan keuntungan mereka dan pengaruh mereka berterusan?
Maka, sempena dengan hari ulangtahun ke-21 penubuhan PSM atau 11 tahun setelah didaftarkan, cabaran yang akan ditempuhi oleh sebuah parti sosialis memanglah hebat.
Tohmahan-tohmahan ke atas golongan kiri seperti mereka anti-agama dan anti-perniagaan, sebenarnya hanyalah alasan-alasan untuk memastikan golongan kiri tidak mendapat tempat di kalangan rakyat biasa.
Ulang tahun penubuhan PSM
Kekalahan PSM dan kehilangan deposit PSM dalam PRU yang lalu akan dianggap sebagai parti ini telah ditolak oleh rakyat keseluruhannya. Namun, selepas kekalahan ini, masih tidak mengurangkan kegerunan golongan kapitalis terhadap sosialis sehingga Tun Mahathir sendiri kena ingat mengingatkan orang tentang bahaya sosialis.
Teguran PSM mengenai harga rumah, masalah perubatan awam, pendidikan swasta, alam sekitar dan gaji pekerja sentiasa menjadi duri dalam daging kepada golongan kapitalis dan pemerintahan PH atau BN yang berpaut pada mereka.
Politik dunia hari ini bergerak menuju ke dua arah – satu adalah arah kanan tegar di mana isu perkauman dan agama menjadi agenda utama. Ideologi Donald Trump dan Israel berhaluan kanan tidak banyak berbeza dengan golongan ektremis perkauman dan agama kanan di negara ini.
Mereka semuanya percaya pada ketuanan satu kaum atau agama, mereka anti-pelarian dan anti-migran. Manakala di hujung yang lagi satu adalah alternatif kiri yang memperjuangkan polisi-polisi yang membawa perpaduan, keadilan sejagat dan kesaksamaan ekonomi.
Gerakan kita 99 peratus adalah gerakan rakyat yang menyatukan masyarakat bawahan dan semakin mendapat hati di banyak negara, terutamanya di kalangan orang muda yang bosan dengan tindak-tanduk kapitalis yang mewujudkan kemiskinan, jurang kekayaan dan krisis ekologi serta iklim. Ini adalah peperangan kelas.
Selamat menyambut Hari Ulangtahun Penubuhan PSM. PSM ialah pembela sistem sosialis yang begitu digeruni oleh kapitalis kerana kapitalis tidak mahu berkompromi untuk melepaskan kekayaan dan keuntungan mereka.
Kami pula tidak mahu berkompromi dalam usaha kami untuk mewujudkan dunia yang lebih bebas, saksama, aman dan selamat untuk semua.
*S ARUTCHELVAN ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan