Senator dari DAP, Nga Hock Cheh berkata kenyataan beliau mengenai status agama pada MyKad telah disalah petik dan disalah fahami hingga menimbulkan kritikan pelbagai pihak.
Nga berkata, beliau tidak pernah menyebut bahawa status agama seseorang harus digugurkan daripada MyKad sebaliknya menekankan mengenai pentingnya identiti nasional.
Menurut hansard ucapannya di Dewan Negara pada 24 April, senator itu berkata:
"Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. He sees himself as a Malaysian. Isu perkauman tidak akan timbul”.
Dalam satu kenyataan petang ini, Nga berkata senator dari Umno, Megat Zulkarnain yang tidak hadir semasa ucapan itu dibuat telah memetik secara salah kenyataan beliau.
Beliau mendakwa beberapa organisasi media seperti Utusan Malaysia dan Bernama juga telah melaporkan ucapannya secara salah.
"Penekanan saya adalah identiti kewarganegaraan dan bukan melalui bangsa. Saya tidak membuat sebarang kenyataan mengenai agama. Saya juga tidak membuat sebarang cadangan bahawa agama digugurkan seperti yang didakwa orang lain.
"Adalah malang cadangan saya untuk mempromosikan perpaduan negara telah disalah petik dan diputarkan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan politik dengan mengabaikan kebenaran dan martabat Dewan Negara serta kepentingan negara.
"Saya harap pihak berkaitan yang telah melaporkan secara salah ucapan supaya supaya melakukan pembetulan yang perlu, "katanya.
Isu mengenai kedutaan di Israel
Dalam perkembangan lain, Nga berkata beliau telah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Dewan Negara yang mengatakan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mendirikan sebuah kedutaan di Israel.
Bagaimanapun, senator itu mendakwa cadangan itu dibuat dengan tujuan untuk mengekalkan keamanan di Timur Tengah.
"Dengan tujuan membantu Palestin mencapai keamanan, niat saya adalah untuk mencadangkan perubahan dalam pendekatan negara kita sekarang, dengan harapan dapat menandatangani perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
"Bagaimanapun, memandangkan sensitiviti mengenai perkara ini dan untuk mengelakkan kesalahan dan salah faham, saya dengan ikhlas dan secara sukarela memohon maaf semasa memberikan penjelasan di Dewan Negara pada 25 April dan ingin menarik balik kenyataan itu serta merta," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata DAP sentiasa menyokong perjuangan Palestin dalam menentang penindasan Zionis Israel.
"Kawan-kawan dari Palestin telah bertemu kami beberapa kali dan mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka. Oleh itu, tidak ada sebab untuk meragui pendirian DAP dalam isu ini," katanya.
Anggota Parlimen DAP itu juga menyatakan keputusan Nga memohon maaf dan menarik balik kenyataannya dibuat untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan