HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 April 2019

Retak sampai nampak rumah bawah

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
 

“KERETAKAN berlaku sejak dua hari lalu, namun ia semakin serius semalam sehingga keretakan boleh dapat lihat bahagian unit bawah,” kata Ahmad Zulkarnain Ahmad, 38.

Dia yang tinggal di tingkat bawah Blok F di pangsapuri Taman Keramat Permai berkata, keretakan jelas kelihatan di bahagian dinding dan lantai ketika dia meninjau keadaan itu dari kediaman rakannya di tingkat empat bangunan itu.

“Saya tak sangka retakan yang berlaku makin serius, memang nampak dapur bahagian rumah bawah melalui retakan di lantai.

“Perkara ini serius sehingga penduduk diarahkan untuk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dilakukan,” katanya ketika di temui di sini, hari ini.

Katanya, dia berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum bulan puasa.

“Memang kami ingin segera masuk ke rumah kerana itu sahaja tempat tinggal yang kami ada, takkan nak sambut puasa di pusat pemindahan.

“Saya dimaklumkan pemeriksaan ambil masa tiga hari dan keputusan untuk benarkan kami tinggal di situ lagi atau tidak akan diperoleh,” katanya.

Warga emas, Mohd Mohid Saidin, 68, yang tinggal di tingkat empat flat itu berkata, dia bimbang kerana keretakan di bahagian dinding dan lantai mulai merebak.

“Saya terkejut melihat retakan makin merebak sejak beberapa hari lepas, sebelum ini memang ada retak tapi tidaklah begitu besar.

“Harap perkara ini dapat ditangani segera oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Blok F Azizan Dayak berkata, dia mahu pihak berkuasa menangani perkara ini secepat mungkin.

“Kami penduduk tiada tempat tinggal lain, kos sewa rumah lain di ibu negara mahal, mana nak cari duit.

“Saya harap keretakan di flat ini dapat diperbaiki dan penduduk dapat balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, pihak polis dan Jabatan Kerja Raya berada di lokasi kejadian bagi melakukan kawalan keselamatan dan pemeriksaan.

Semalam, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, susulan keretakan di bangunan itu.

BERITA BERKAITAN:


Tiada ulasan: