KENAIKAN gaji pekerja tidak dapat dilakukan jika tiada peningkatan dalam produktiviti, demikian menurut Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Beliau berkata, produktiviti boleh ditingkatkan dengan cara mengurangkan pekerja dan menggunakan automasi.
“Kalau satu tugasan yang memerlukan 10 orang, tapi dengan automasi memerlukan tiga orang.
“Dengan produktiviti yang meningkat melalui automasi, maka rakyat dapat gaji lebih tinggi.
“Apabila rakyat dapat gaji lebih tinggi, soal kos sara hidup tidak begitu mendesak,” katanya yang turut menegaskan isu kos sara hidup simptom kepada masalah gaji terlalu rendah sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata demikian selepas menjadi panel dalam New Straits Times (NST) Insight Forum bertajuk Ekonomi Malaysia: Isu dan Cabaran di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini.
Turut diundang sebagai panel ialah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Penulis Lidah Pengarang NST Abdul Rahim Mydin selaku moderator.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor, Ketua Pegawai Operasi NSTP Datuk Yushaimi Yahaya dan Pengarang Kumpulan NST Rashid Yusof.
Ditanya masalah kekurangan pekerjaan akan timbul jika penggunaan automasi diperluaskan, Chin Tong berkata, untuk mengatasi masalah itu pengambilan pekerja asing boleh dikurangkan.
“Kita ada hampir dua juta pekerja asing yang ada dokumen, yang haram tak tahu berapa. Apa yang kita boleh buat ialah kita kurangkan pekerja (asing) tanpa kemahiran,” katanya.
Beliau juga menegaskan, pekerja pembersihan sebagai contoh dibayar gaji RM2,000 tidak boleh dengan kadar itu juga dibayar kepada pekerja graduan.
“Kita tak boleh bayar graduan RM2,000, kita mesti bayar lebih tinggi. Jadi, ini langkah positif yang perlu kita ambil untuk tahun mendatang,” katanya.
Sementara itu, Khairy ketika ditanya isu subsidi kepada rakyat berkata, perlu ada perbincangan yang panjang lebar berkenaan dengan isu itu.
Bagi subsidi minyak katanya, ia banyak memberi keuntungan kepada mereka berpendapatan tinggi yang menggunakan banyak petrol.
“Kenapa kita perlu memberi subsidi kepada kumpulan ini? “Antara satu cara untuk kita mengelak memberi subsidi kepada golongan kaya adalah untuk kita tidak mengamalkan subsidi pukal yang ada hari ini dan kita kembali kepada sistem subsidi bersasar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan