HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 April 2019

Kisah Pas dan tulang rusuk UMNO

Oleh DR ASYRAF WAJDI DUSUKI



CINTANYA Adam dan Hawa membawa zuriat dan melahirkan kita. Lahirnya Hawa daripada tulang rusuk Adam sebagai tanda betapa akrabnya mereka berdua sungguhpun diuji berpisah lamanya tatkala diturunkan ke muka bumi selepas dikeluarkan dari syurga lantaran fitnah iblis.

Sungguhpun berpisah namun cinta dan kasih bertaut kembali setelah dipertemukan oleh ALLAH Azzawajalla di muka bumi.

Begitulah ibarat Pas dan UMNO, sejarah telah mencatatkan bahawa Pas dengan nama asalnya Persatuan Islam Se-Malaya adalah terhasil daripada cetusan ‘ulama-ulama’ dalam UMNO.
Hakikat sejarah merekodkan bahawa Pas tertubuh hasil daripada inisiatif para ulama semasa Perjumpaan Alim Ulama Se-Malaya kali ketiga di ibu Pejabat UMNO Butterworth, Seberang Perai pada 24 November 1951.

Ia bermula daripada kelulusan usul untuk menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya yang dibawa oleh Tuan Ahmad Fuad Hasan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO.

Ia pertama kali dikemukakan dalam Perjumpaan Alim Ulama Se-Malaya Kali Kedua yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Dengan tertubuhnya Persatuan Islam Se-Malaya dalam jangka masa kurang daripada enam bulan; daripada cadangan pertama untuk diadakan Perjumpaan Alim Ulama Se-Malaya Kali Kedua oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Jun 1951, membuktikan bahawa agenda dibawa oleh Pas adalah lahirnya daripada UMNO itu sendiri.

Tambahan pula, pada peringkat awal penubuhan, ramai dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas adalah pemimpin dan ahli UMNO itu sendiri. Namun setelah tiga tahun ditubuhkan, Pas telah meluluskan usul bahawa pemimpin Pas tidak boleh memegang dua kepimpinan. Usul itu telah diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pas kali ketiga di Madrasat Al-Tahzib Al-Diniah, Titi Serong, Parit Buntar, Perak pada 12 hingga 14 Ogos 1954.

Tahun berikutnya, iaitu semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pas kali keempat di Madrasat Al-Ahmadiah, Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan pada 26 hingga 28 Disember 1955, satu lagi usul diluluskan iaitu larangan ahli Pas untuk tidak boleh memegang keahlian mana-mana parti lain.
Kematangan

Merujuk kepada kedua-dua rentetan sejarah ini, dapatlah kita fahami bahawa Pas telah mengalami proses kematangan sebagai sebuah parti berdiri sendiri tanpa bantuan dan juga sokongan.

Melalui proses kematangan ini, Pas berjaya membawa gagasan sendiri dengan secara tidak langsung menjadi ‘pelengkap dalam bersaing’ dengan UMNO dalam membina negara selama lebih 60 tahun.

Sejarah Pas sendiri tidak pernah menafikan berkenaan asal-usul Pas sebagaimana termaktub dalam dokumen-dokumen rasmi Pas. Di antaranya ialah Berita Pas, Bil. 1 Thn. 3, April 1976, (merupakan lidah rasmi Pas pada waktu itu) mengakui bahawa “Pas terbit dan lahir daripada rusuk UMNO”.

Buku cenderamata 36 Tahun PAS: Meniti Liku Perjuangan yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dan Penyelidikan Pas Pusat pada 1987 mengakui bahawa “penubuhan Pas itu hasil daripada tajaan UMNO”.

Ditambah lagi, buku ilmiah PAS Jawab Pembohongan Mahathir: Jenayah Akademik Pemimpin UMNO yang diterbitkan oleh Lajnah Penerangan dan Penyelidikan Pas Pusat pada 1995 mengakui bahawa "Pas lahir di rumah UMNO".

Buku cenderamata 50 Tahun Mempelopori Perubahan: Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun yang diterbitkan oleh Penerbitan Ahnaf pada 2001 mengakui bahawa “Pas dilahirkan dari dalam UMNO”.

Akhir sekali (mungkin ada lagi catatan-catatan lain yang boleh dimuatkan), buku cenderamata Sambutan Jubli Emas Pas Peringkat Negeri Terengganu pada 17 dan 18 Ogos 2001 mengakui bahawa “inisiatif yang diambil oleh golongan ulama UMNO-lah yang berjaya menubuhkan Pas di peringkat awal.”

Secara asasnya, Pas dan UMNO tidak pernah bersaing untuk memesongkan agama mahupun bangsa. Kedua-duanya berjuang bermatlamatkan agama, bangsa dan tanah air.

Namun persepsi dan ujian telah memisahkan perpaduan dan penyatuan. Penyatuan kembali UMNO dan Pas umpama sirih pulang ke gagang.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
 
 

Tiada ulasan: