HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 April 2019

Jimat karan 51 peratus

Badrul Kamal Zakaria
 
 

KAWASAN Rehat dan Rehat (R&R) Machap Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara menjadi hentian pertama menggunakan sistem tenaga solar fotovolta yang lebih jimat dan mesra alam.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, PLUS melabur RM700,000 untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif yang digunakan R&R itu sebagai pendekatan dan inovasi syarikat konsesi lebuh raya itu untuk memperluaskan penggunaan teknologi hijau dan memulihara alam sekitar.

Katanya, R&R Machap arah utara juga istimewa kerana menjadi R&R tunggal di Lebuhraya PLUS berkonsep tertutup dengan kemudahan sistem penghawa dingin untuk keselesaan pengguna.

“Namun, kami dapati penggunaan tenaga elektrik meningkat dengan drastik hingga menjadikannya antara lima R&R yang tinggi dari segi penggunaan tenaga elektrik.

“Justeru, pengurusan PLUS menjalankan kajian dan mencadangkan penyelesaian menerusi penggunaan sistem solar fotovolta,” katanya.

Katanya, panel solar dipasang di atas bumbung sekitar R&R menjadikannya mampu menghasilkan tenaga 182 kilowattpeak (kWp) dan sejak digunakan Oktober tahun lalu mencatatkan penjimatan tenaga elektrik 51 peratus.

“Sistem yang dijanakan sumber semula jadi ini lebih mesra alam kerana secara tidak langsung mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida ke udara.

“Dalam tempoh sama, sistem ini mencatatkan pengurangan pelepasan gas itu 77 tan metrik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sistem Solar Fotovolta yang pertama di kawasan R&R Machap arah utara di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Baru berkata, menerusi penggunaan teknologi itu PLUS menjimatkan RM13,000 kos penggunaan elektrik berbanding RM45,000 sebelum penggunaan sistem tenaga solar fotovolta berkenaan.

“Berdasarkan Pelan Halatuju Hijau sedia ada, PLUS memperluaskan pemasangan panel solar fotovolta di 10 R&R lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia membabitkan R&R di Restoran Jejantas Sungai Buloh, Restoran Jejantas Ayer Keroh, Dengkil (arah utara dan selatan), Gurun (arah utara dan selatan), Gunung Semanggol (arah selatan), Tapah (arah utara dan selatan) dan Ayer Keroh (arah utara) bagi tempoh itu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Baru berkata, keputusan muktamad mengenai mengurangkan kadar tol diputuskan Jun ini selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Katanya, pada Mei ini juga, kajian holistik mengenai pengurangan kadar tol yang dilaksanakan sebuah firma perunding akan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Tiada ulasan: