OLEH NAZLI IBRAHIM
Sebaik
sahaja Syarikat Air Selangor mengumumkan gangguan bekalan air pada 24
April hingga 27 April ini, orang ramai mula berpusu-pusu membeli
pelbagai bekas untuk menyimpan air.
Biasanya bekas simpanan air yang paling popular sudah tentu baldi dan juga tong plastik putih berpenutup.
Lazimnya,
ramai antara kita menganggap membeli bekas simpanan air sebagai satu
perkara ringan yang tidak memerlukan pengetahuan, asalkan boleh
menyimpan air.
Bagaimanapun hakikatnya, berapa ramaikah di antara
kita yang mengetahui bahawa setiap produk plastik termasuk bekas
simpanan air sebenarnya mempunyai gred dan fungsinya tersendiri?
SelangorKini
sempat bertemu Penyelia My DIY Home Depot Sdn Bhd, Marziana Hasani
untuk berkongsi pengetahuan tentang tips untuk memilih bekas penyimpanan
air.
Menurut Marziana, tips terpenting sekali para pembeli
hendaklah ringan mulut untuk bertanya kepada penjual untuk menggelakkan
tersalah guna.
Pastikan bekas selamat untuk air minuman
Katanya,
ini kerana terdapat bekas simpanan air seperti baldi yang hanya sesuai
untuk kegunaan harian seperti membasuh, menyiram pokok atau seumpamanya
sahaja dan bukan untuk kegunaan memasak atau air minuman.
“Kalau
baldi atau tong untuk menyimpan air minuman sebaiknya gunakan bekas air
baru yang belum dikitar semula kerana bahan kitar semula mengandungi
pelbagai bahan kimia yang mampu berereksi terhadap suhu dan lain-lain
keadaan sekaligus memberi kesan kepada kesihatan untuk jangka masa
panjang.
“Bagaimanapun sekiranya membeli bekas menyimpan air
produk yang dikitar semula, pastikan hanya kod bernombor 1 atau 2 sahaja
yang tertera di bahagian bawah,” katanya kepada SelangorKini.
Selain
itu, terdapat juga botol plastik menggunakan kod 1 yang hanya boleh
digunakan sekali sahaja seperti botol minuman air mineral yang lebih
lembut.
Sementara bagi produk plastik menggunakan kod 3,4 dan 5
(gunakan dengan berhati-hati) serta 6 dan 7 (perlu dielakkan) di mana
hanya sesuai digunakan untuk kegunaan lain, bukannya menyimpan makanan
atau air minuman.
Jenis kediaman
Selain perlu memerhatikan kod kitar semula, pembeli juga dinasihatkan mengambil kira jenis kediaman masing-masing.
Bagi
penduduk rumah bertingkat lebih sesuai menggunakan bekas berpenutup
bagi memudahkan proses mengambil bekalan air disediakan pihak
bertanggungjawab.
“Terutamanya sekiranya tinggal di tingkat atas apabila menggunakan baldi biasa tentu sukar nak bawa naik atas.
“Semasa tadah air penuh tetapi bila sampai rumah dah tinggal separuh kerana banyak tumpah ketika naik tangga,” katanya.
Manfaatkan bekas simpanan air setiap masa
Orang
ramai juga dinasihatkan supaya memanfaatkan bekas air yang dibeli
setiap masa dan bukannya semasa ketiadaan bekalan air sahaja.
Antaranya
dengan menjadikan baldi sebagai bekas tadahan hujan sebagai sumber air
untuk menyiram pokok, membasuh lantai dan lain-lain.
Ketika
menyentuh harga bekas simpanan air yang ditawarkan My DIY Home Depot
Sdn Bhd, Marziana memberitahu syarikatnya bukan sahaja mengekalkan harga
biasa, malah menawarkan potongan harga terhadap beberapa bekas
menyimpan air di sebabkan persaingan peniaga lain.
“Harga tak naik tetapi bergantung kepada gred baldi, malah kami ada beri potongan harga.
“Jualan
bekas simpanan air meningkat dua kali ganda hingga kami terpaksa
menempah lebih 2,000 unit untuk semalam sahaja, tidak termasuk
sebelumnya dan hari ini akan ada lagi penghantaran terakhir dari
pembekal kerana pembekal juga perlu mengagihkan ke tempat lain juga,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan