HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 April 2019

Teresa Kok: Pembangkang sukakan saya


     

WAWANCARA | Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata beliau bersedia menghadapi cemuhan dalam usahanya untuk mempromosikan industri minyak sawit di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha DAP itu mengangkat sumpah sebagai menteri pada Julai 2018 namun usahanya dalam meningkatkan penjualan minyak sawit terus dipersendakan.

Sebelum ini kerajaan berusaha memerangi kempen Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penggunaan biofuel berasaskan minyak kelapa sawit, yang akan memburukkan lagi penimbunan stok pengeluaran minyak sawit di negara ini.

Penurunan harga minyak sawit yang berterusan memberi kesan kepada 650,000 pekebun kecil dan menjejaskan kehidupan tiga juta orang yang bergantung kepada industri berkaitan komoditi itu.

Ia juga dikatakan memainkan peranan dalam kekalahan BN pada pilihan raya umum pada 2018.

Kok sebelum ini dipersenda apabila beliau mendakwa kelihatan lebih muda dengan meminum satu sudu minyak sawit setiap hari.

Beliau juga dikritik kerana menyarankan penoreh getah keluar menoreh pada musim tengkujuh dan menggesa pekebun kecil mempelbagaikan tanaman mereka.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini dan KiniTV, ahli politik DAP itu mempertahankan usahanya untuk meningkatan penjualan minyak sawit.

"Sesetengah rakyat Malaysia memberikan hamper hadiah dengan minyak kelapa atau minyak zaitun. Soalan saya, kenapa tidak ada minyak sawit merah?"

"Sekiranya rakyat Malaysia mengetahui manfaat kelapa sawit dan jika (kita tidak) menghadapi cabaran dalam (menjual) minyak sawit, tidak ada keperluan untuk menolak kempen 'Love MY Palm Oil'," katanya.

"Apabila saya diam, orang lain menyamakan saya dengan MCA. Apabila saya bercakap mengenai minyak kelapa sawit, orang ramai mengatakan saya terlalu agresif, jadi apa yang perlu saya lakukan?" soalnya.

Sudah lali 

Dengan sikap optimis Teresa berkata, beliau mengambil sikap positif apabila ahli parlimen pembangkang terus mengkritik usahanya mempromosikan minyak sawit di Parlimen.

"Saya telah menjadi ahli parlimen selama 20 tahun. Bilakah kamu melihat perubahan seperti ini berkaitan kementerian industri utama? Tidak ada yang 'kacau' sebelum ini.

"Hanya pada waktu saya kamu lihat mereka mempertikai dan memutar kata-kata saya dengan mengatakan (saya beritahu pekebun kecil) untuk melupakan minyak kelapa sawit dan menanam buluh sebagai ganti.

"Apa yang saya boleh kata ialah mereka sukakan saya. Mereka sangat sukakan saya hingga apa saja yang saya katakan mereka gemar memutarkannya. (Tapi) saya sudah lali dengan ini.

"Semakin mereka mempersendakan saya tentang minyak kelapa sawit, lebih banyak perhatian diberikan kepada minyak sawit. Secara tidak langsung, mereka membantu," katanya.

Teresa berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri adalah individu pertama bercakap mengenai memakan satu sudu minyak kelapa sawit sehari dan bukannya beliau.

"(Ketika Mahathir menghadiri acara berkaitan minyak kelapa sawit), beliau tidak pernah menggunakan teks ucapan yang kita buat," tambahnya.

Kok merancang untuk ke Eropah awal bulan depan bagi menjelaskan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan sektor korporat untuk memelihara alam sekitar.

"Pilihan raya Parlimen Eropah akan diadakan pada bulan Mei dan isu perubahan iklim serta kelapa sawit adalah agendanya, jadi kita tidak berharap banyak dengan Parlimen Eropah dan Suruhanjaya Eropah kerana mereka telah membuat pendirian," katanya.

Cadangan Akta Delegasi EU yang mengklasifikasikan minyak kelapa sawit sebagai 'minyak berisiko tinggi', dijangka dibentangkan di Parlimen Eropah pada Mei 2019.

Tindakan ini akan menambah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu EU (RED) II untuk menyekat dan melarang minyak kelapa sawit menjelang 2030.

Susulan itu jualan produk berasaskan minyak kelapa sawit yang lain di pasaran EU dijangka akan turut memberikan kesan.

Tiada ulasan: