“SAYA hanya mampu menjerit Allahukbar apabila anak tindih badan dan mengilas kaki sebelum meletakkan parang ke leher.”
Demikian kata Che Nah Isa, 70, yang berdepan detik cemas selepas ditolak anaknya sehingga terjatuh dan nyaris dibunuh menggunakan parang kecil di rumah mereka di Kampung Tanjung Piring, Nami, Padang Terap, malam tadi.
Dalam kejadian 8 malam itu, lelaki berusia 35 tahun itu bertindak sedemikian kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah dan sanggup mengambil parang kecil dan cuba mengelar leher mangsa.
Che Nah berkata, ketika kejadian dia berseorangan di dalam rumah sebelum didatangi anaknya yang terus mengamuk dan menjirus air ke badannya.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, dia menolak badannya sehingga terjatuh dan menindih sebelum mengilas kaki.
“Mak cik ketika itu menahan kesakitan dan menjerit kesakitan serta bertanya kepadanya mengapa buat mak seperti ini.
“Ketika bergelut lebih kurang lima minit itu, mak cik sempat menolak parang yang berada di leher dan mujur tidak lama kemudian jiran yang menyedari kejadian itu datang membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Katanya, sebaik terselamat dia terus mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon balai polis.
“Anak saya memang menagih dadah sudah lama, namun dia pernah berhenti sekejap sebelum mula menagih semula sebulan lalu.
“Dia pernah masuk ke pusat pemulihan pada 2007 malah bimbang dengan keselamatan dua anak lelakinya berusia 12 dan 14 tahun menyebabkan saya menghantar mereka tinggal dengan bekas isterinya dua minggu lalu,” katanya.
Dia yang trauma dengan kejadian itu berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas anaknya itu.
Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan lelaki tergamak menolak dan cuba membunuh ibunya dengan mengelar leher mangsa menggunakan parang kecil di rumah mereka kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah, malam tadi.
Berita berkaitan
• 'Tergamak nak bunuh ibu kerana dadah'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan