HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 April 2019

Raja Muda S'gor tak terlibat 'santai teh tarik 4 Putra Mahkota'

MALAYSIAKINI

   
Pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Tengku Amir Shah dalam program yang dipromosikan sebagai 'Santai Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota' oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

"Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Pejabat DYTM Raja Muda Selangor menafikan penglibatan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik bersama 4 Putra Mahkota seperti yang tertera di dalam poster yang tular baru-baru ini.

"Penggunaan gambar DYTM Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali.

“Justeru, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak istana,”kata Setiausaha Sulit Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Lokman berkongsi di laman sosial poster program yang dimaksudkan yang dinyatakan akan diadakan di Mahkota Parade, Bandar Hilir Melaka, jam 5.30 petang esok.

Poster berkenaan memaparkan gambar tiga putera raja iaitu Tengku Mahkota Johor, Tengku Mahkota Pahang, Raja Muda Selangor, selain gambaran seorang lagi putera raja yang dirahsiakan identitinya.

 

Hari ini, Lokman mengumumkan suatu "sesi teh tarik" menampilkan empat putera mahkota akan diadakan dan menjemput orang ramai hadir beramai-ramai pada majlis itu untuk berswafoto.

Namun kira-kira sejam selepas menghantar jemputan itu, Lokman berkata majlis itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana "menerima beberapa panggilan telefon."

"Stress, baru je ingat nak mengeteh dengan 4 Putera Mahkota di Mahkota Parade Isnin ini, dah ada macam-macam panggilan telefon yang mereka terima.

"Nampak gaya tak kesampaian rakyat nak minum teh dengan Tengku Mahkota kita," katanya dalam Grup Whatsapp media.


Tiada ulasan: