HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 April 2019

Panik, reda bila dapat tahu rumah retak – mangsa

Nizam Zain

Nur Shafina Mohd Zin
Penduduk Flat Pangsapuri Taman Keramat Permai, Nur Shafina Mohd Zin, 30 bercakap kepada media selepas dipindahkan di pusat pemindahan berikutan keretakan serius pada flat tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI


KUALA LUMPUR – Insiden Pangsapuri Kos Rendah Taman Keramat Permai di sini yang mengalami keretakan serius sememangnya menimbulkan rasa panik kepada salah serorang ahli keluarga mangsa yang bekerja di luar kawasan ketika kejadian.

Menurut Nur Shafina Mohd Zin, 30, dia bertambah panik apabila insiden itu yang dirakamkan orang ramai dan dikongsikan kepadanya menunjukkan pihak bomba sedang bertungkus-lumus memindahkan 222 penghuni di situ.

“Saya panik sebab saya masa itu bekerja di luar, saya dari Melaka. Saya dapat panggilan daripada keluarga dan terus balik, terus keluar rumah sebelum jam 12 malam.

“Saya dapat video, ada bomba datang dekat rumah, agak panik dekat situ, risau sebab mak dekat rumah, mak dah berusia 71 tahun.

“Perasaan itu sudah tentu rasa sedih, sebab lama dah kita duduk di situ, membimbangkan sebab orang yang tua dan bayi,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan bencana di Sekolah Menengah Kebangsaan Keramat, di sini, hari ini.

Seramai 222 penghuni diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas pangsapuri diduduki mereka mengalami keretakan serius sejak semalam.
Hazlin Hayati Ahmad
Penduduk Flat Pangsapuri Taman Keramat Permai, Hazlin Hayati 
Ahmad, 46 bercakap kepada media selepas dipindahkan di pusat 
pemindahan berikutan keretakan serius pada flat tersebut 
di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, Kuala 
Lumpur. foto AFFAN FAUZI
Sementara itu, Hazlin Hayati Ahmad, 46, pula berkata, dia akui berasa sedih terpaksa berpindah keluar meninggal rumah yang didudukinya bersama ibu bapanya yang uzur.

“Masa kita terima berita semalam, kita rasa sedih sebab kita kena kosongkan rumah sebelum pukul 12 malam.

“Jadi kita macam kelam-kabut nak ambil dokumen penting, lepas itu orang tua kita sakit nak sediakan ubat dia,” katanya.

Hazlin Hayati juga hanya menyerahkan kepada takdir dan reda kehilangan harta-benda jika pangsapuri yang dihuninya itu runtuh kerana tidak sempat menyelamatkan kelengkapan rumah yang lain.

“Saya bimbang keadaan rumah sebab tiba-tiba dia retak. Saya sempat bawa keluar surat beranak, geran rumah, geran kereta, yang selebihnya reda saja kalau runtuh,” katanya.
MGF27042019_MB SELANGOR LAWATAN PANGSAPURI RETAK26
Penduduk Flat Pangsapuri Taman Keramat Permai, Sabran 
Kamaruddin, 57 bercakap kepada media selepas dipindahkan 
di pusat pemindahan berikutan keretakan serius pada flat tersebut 
di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, Kuala 
Lumpur. foto AFFAN FAUZI
Bagi seorang warga emas, Sabran Kamaruddin, 57, dia yang mengalami penyakit kencing manis berasa terkejut apabila diminta berpindah dalam kadar segera sedangkan keadaannya yang uzur dan sukar bergerak.

“Masa kejadian saya memang rasa terkejut tiba-tiba kena pindah, jadi saya memang sakit (kencing manis).

“Tiba-tiba kena pindah dalam masa pukul 12 kena kosongkan kawasan itu, jadi saya memang saya tengok mereka kelam kabut pindah, saya pun terpaksa pindah juga,” katanya.

Kata Sabran lagi, dia bersyukur dengan tindakan pantas semua pihak yang menyelamatkan kesemua 222 penghuni dan menempatkan di pusat pemindahan itu dengan menyediakan keperluan yang mencukupi.

“Saya pindah sini pukul 12 lebih, saya sorang saja kat sini, yang lain semua tak nak, dia takut,saya sorang jer satu keluarga

“Selepas pukul 7 pagi baru ramai pindah, bantuan saya rasa memang bagus, saya rasa bantuan-bantuan ini saya puas hati lah apa semua dapat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: