HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 April 2019

Isu tudung: Latheefa jawab mufti Wilayah

MALAYSIAKINI

   

ULASAN | Saya merujuk kepada ulasan sahibus samahah Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad yang dibuat terhadap kenyataan saya.

Tidak dapat dinafikan bahawa secara prinsipnya terdapat persamaan di antara pendapat yang diutarakan oleh mufti Wilayah Persekutuan dengan pendapat saya.




Pertamanya, sahibus samahah mufti menyedari bahawa “dalam wacana yang bersifat dakwah dan perbincangan ilmiah, kami amat tidak gemar untuk menggunakan sebarang peruntukan undang-undang yang boleh disalah tafsir sebagai “menindas” dan “kekerasan”, dan oleh itu boleh dirumuskan beliau sendiri mengalakkan cara berdakwah iaitu dalam erti kata lain tidak memaksa dan tidak berkeras.

Pilihan tanpa dipaksa

Seperti yang saya katakan sebelum ini, wanita harus diberikan pilihan untuk memakai tudung atau tidak, tanpa dipaksa.

Malah sahibus samahah mufti secara tepat juga menyatakan “dehijabing adalah satu pilihan atas kehendak mereka”.

Walaubagaimanapun, adalah mengecewakan setelah memberi pandangan yang progesif terhadap isu ini, sahibus samahah mufti telah merujuk kepada Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian III - Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya (Seksyen 11, mengajar agama tanpa tauliah).

Ia seolah-olah memberi satu ugutan yang tersirat untuk menutup mulut wanita-wanita dari terus berbincang isu-isu serta pengalaman mereka dari segi kehidupan sebagai seorang muslim.
Suara dan pengalaman wanita adalah penting dalam perbincangan hukum-hakam fikah bahkan undang-undang secara umum.

Bukankah Imam Syafie sewaktu ingin merumuskan hukum mengenai haid wanita menggunakan pendekatan istiqra (deductive methodology) dengan mendengarkan pengalaman wanita.

Mendiamkan suara dan pengalaman wanita adalah tindakan ekstremis dan melanggar saranan sahibus samahah mufti itu sendiri yang bercenderung untuk mengambil metodologi berdakwah dan bukan secara kekerasan dan paksaan.

Mungkin institusi-institusi agama perlu dingatkan bahawa gelaran-gelaran yang diberikan kepada para mufti iaitu “sahibus samahah” itu sendiri membawa maksudnya “'yang memiliki sifat toleransi'.

Adakah gelaran itu kini harus dipandang secara sinis?

Wallahu alam bissawab.


LATHEEFA KOYA ialah Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty dan peguam hak asasi manusia.


Tiada ulasan: