HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 April 2019

Tuduhan cacat nafikan Najib perbicaraan adil, kata peguam

V Anbalagan
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi, Kuala 
Lumpur, hari ini
 
KUALA LUMPUR: Peguam Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas perdana menteri itu tidak akan mendapat perbicaraan adil memandangkan 7 pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd adalah tidak jelas dan oleh itu sukar untuknya membela diri.

Peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, perbicaraan adil adalah hak asasi setiap tertuduh.

“Perbicaraan adil seperti hak hidup seorang individu (right to life) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib diletakkan dalam keadan yang lemah sekiranya pertuduhan itu cacat,” katanya kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kamarul berkata anak guamnya berhak mendapatkan butiran pertuduhan daripada pihak pendakwaan supaya dia boleh membela diri seawal mungkin.
Beliau mengemukakan permohonan daripada Najib, yang mahu mahkamah membatalkan tuduhan-tuduhan kecuali pihak pendakwaan memindanya.

Permohonan itu atas sebab tuduhan terhadap Najib cacat dari segi bentuk dan sini, dan ia merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Najib berhadapan dengan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah dalam pemindahan RM42 juta ke akaun beliau daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga dituduh menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan pada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Najib didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Seorang lagi peguam Najib, Mohd Yusof Zainal Abiden berhujah, tuduhan pecah amanah cacat kerana pihak pendakwaan tidak menyatakan bagaimana beliau melakukan kesalahan-kesalahan itu.

“Lagi pun, adalah salah bagi pendakwaan untuk longgokan 3 pertuduhan pecah amanah itu apabila kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2014. Beliau patut hadapi 1 pertuduhan sahaja,” katanya.

Yusof berkata, Najib sepatutnya dituduh melakukan pecah amanah atau salah guna kuasa, bukan kedua-dua sekali.

“Bahan bagi membuktikan kedua-dua kesalahan itu adalah serupa,” katanya.

Beliau menambah Najib akan dihukum 2 kali sekiranya disabit bersalah.

Tiga tuduhan pengubahan wang haram, katanya, bukan kesalahan utama, tidak seperti pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Tuduhan sekadar menyatakan wang itu didakwa hasil kutipan kegiatan haram. Pihak pendakwa mesti nyatakan apakah kesalahan predikatnya.

“Oleh itu, tuduhan-tuduhan bagi kesalahan Amla seperti yang ada itu adalah tidak jelas,” katanya, merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Yusof berkata, Najib tidak boleh dituduh melakukan pengubahan wang haram bersama dengan pecah amanah dan salah guna kuasa kerana tuduhan pertama itu hanya untuk pesalah subsidiari.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berkata, pecah amanah, pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram kesalahan berbeza dan bawah undang-undang yang diluluskan Parlimen.

“Semuanya mempunyai bahan berbeza bagi pendakwaan untuk membuktikan kes terhadap tertuduh,” katanya.

Menurut Sithambaram, Najib tentu faham tuduhan-tuduhan itu kerana pihak pendakwaan menyediakan dokumen 7,000 muka surat untuk digunakan dalam perbicaraan, selain kertas pertuduhan.

“Saya tidak fikir pendakwaan mengelirukan tertuduh sehinggakan berlaku salah laksana keadilan,” katanya.

Sithambaram berkata, pendakwaan boleh meminda tuduhan sebelum menutup kes, sementara hakim juga boleh memindanya pada bila-bila masa sebelum memberikan keputusan.

Setakat ini, katanya, 21 saksi memberi keterangan dan disoal pihak pembelaan, tanpa ada aduan mengenai ketakjelasan berhubung tuduhan.

Beliau juga berkata para peguam Najib menyerahkan cadangan pembelaannya seperti yang perlu bagi tuduhan salah guna kuasa, dan mereka tidak pun mengadu semua 7 tuduhan itu cacat apabila Najib minta dibicarakan tahun lepas.

Nazlan akan memberikan keputusan pada Isnin.

Tiada ulasan: