Bina projek perumahan untuk keperluan rakyat: Ahmad Faizal
KUALA KANGSAR
– Kerajaan Perak akan mengambil semula tanah kerajaan yang diteroka
secara haram, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau menegaskan tanah yang diteroka
seluas kira-kira 25,600 hektar akan diambil semula untuk membantu rakyat
termasuk membina projek perumahan bagi keperluan rakyat.
Katanya, dengan memajukan tanah itu akan
membolehkan rakyat memiliki rumah sekali gus membolehkan kerajaan
menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai.
“Saya sedih kerana masih ada rakyat yang
tidak memiliki rumah dan terpaksa bekerja di luar,” katanya berucap pada
majlis perasmian Malam Jalinan Mesra Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
Negeri Perak di Dewan Jubli di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau juga memuji usaha
NGO di Perak yang mahu menubuhkan sekretariat NGO dan menyifatkan ia
sebagai medan penyatu kepada NGO-NGO yang ada di negeri ini.
Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri
percaya NGO memiliki matlamat sama dengan pentadbiran iaitu membawa
kemajuan kepada masyarakat terutama daripada aspek kemajuan ekonomi dan
pembelaan kebajikan.
Katanya, setiap NGO yang berada di Perak
memiliki kepakaran masing-masing yang sekiranya disatukan, mampu membawa
manfaat yang besar kepada semua.
“Sekiranya gabungan NGO ini dapat duduk
bersama-sama dan berbincang untuk mencari kaedah terbaik bagi membantu
kerajaan negeri menyampaikan khidmat kepada rakyat, kerajaan negeri sama
sekali tidak mempunyai halangan dan sentiasa bersedia memberi sokongan
demi kebaikan semua,” katanya.
Katanya, sekretariat NGO yang akan
ditubuhkan nanti mungkin juga boleh memainkan peranan untuk melakukan
kerja semak dan imbang kepada setiap keputusan kerajaan selain memberi
penerangan terhadap rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan.
Ini secara tidak langsung membantu
kerajaan untuk sentiasa beringat agar tidak tergelincir dalam memberi
khidmat dan membawa obor perjuangan dan melakukan yang terbaik untuk
berkhidmat demi rakyat, katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan