Sudah menjadi rutin harian Mohamad Amzi Hakim Amran untuk mencuba nasib dengan “memujuk” lima hingga sepuluh orang untuk membeli perlindungan insurans daripadanya.
Ia boleh saja menerusi panggilan telefon, berjumpa dengan orang ramai, atau melalui kenalan. Biasanya, dua daripadanya akan bersetuju dan menjadi pelanggan.
Ejen insurans bukanlah kerja mudah. Ia memerlukan kemahiran komunikasi yang baik untuk meyakinkan orang ramai dengan polisi yang ditawarkan.
Dahulu Amzi belajar jurusan Pengajian Quran dan Sunnah di sebuah universiti tempatan. Lulus ijazah Sarjana Muda, dia akhirnya memilih untuk menjual insurans, bukannya kerja di pejabat berhawa dingin.
Waktu kerjanya sama seperti kebanyakan orang - sembilan pagi hingga lima petang - tetapi pendapatan bulannya tidak menentu dan bergantung kepada kadar usahanya setiap bulan.
"Dalam bidang ini (jurusannya) susah nak cari pekerjaan. Kebanyakannya kerja di luar bidang. Ada (kerja dalam bidang) tetapi tak banyak dan ada yang masih menganggur.
"Misalnya kalau saya nak jadi pensyarah bidang ini, saya perlu lanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. Mereka yang sudah ada Sarjana pun susah nak dapat kerja," katanya kepada Malaysiakini.
Kini Amzi sudah dua tahun menjadi ejen insurans dan berkata dia mendapat pendapatan sekitar RM1,500 ke RM2,000 sebulan tidak termasuk komisen.
Ia bukan jumlah yang banyak tetapi Amzi boleh menyasarkan penambahan pendapatan sekitar RM1,000 setiap tahun - angka yang lebih tinggi berbanding kenaikan tahunan bagi mereka yang makan gaji.
"Ada orang, biasanya yang sudah berusia sedikit, tegur kenapa saya belajar tinggi tetapi tidak bekerja dalam bidang yang dipelajari.
"Mereka tanya 'kenapa jual insurans yang tiada gaji tetap?'
"Malah ada juga yang gesa saya minta kerja kerajaan sebab senang nak buat pinjaman," katanya lagi.
Dapat RM4,000 hantar makanan
Jumlah mereka yang memilih bekerja secara bebas, atau freelance, menyaksikan peningkatan ketara berbanding sepuluh tahun lalu.
Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan kini seramai 1.7 juta yang bekerja secara freelance, berbanding 760,000 orang pada 2010.
Seperti Amzi, Syafiq juga berdepan kesukaran mendapat pekerjaan dalam bidang yang dipelajarinya iaitu fotografi.
Dia menuntut jurusan itu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Pada mulanya Syafiq menjadi penghantar barang untuk sebuah syarikat, tetapi terpaksa berhenti apabila syarikat itu berdepan masalah.
Ketika itulah dia memilih untuk bekerja sendiri sepenuh masa sebagai penghantar makanan.
"Selepas pengajian saya minta kerja di banyak tempat tetapi gagal. Salah satu sebabnya latihan amali (praktikal) saya ketika belajar, iaitu di butik pengantin, tidak menepati keperluan syarikat yang saya minta kerja.
"Pendapatan untuk kerja hantar makanan ini lumayan juga sebab saya dibayar mengikut tempahan.
"Maka kalau saya nak lebih pendapatan saya kena lebih rajin," kata pemuda berusia 27 tahun itu.
Syafiq menyifatkan kehidupannya "selesa" setakat ini tetapi masalah menimpanya dalam bentuk berbeza - dihujani persoalan, dan ada kalanya bernada sinis, berkenaan dirinya yang tidak berpendapatan tetap.
"Malah ibu bapa sendiri pernah tanya sampai bila nak bawa Grabfood. Saya jawab sampai dah tak boleh cari makan dengan cara ini," katanya lagi.
Mengakui pekerjaannya itu mempunyai risiko dari segi keselamatan dan perlindungan masa hadapan, Syafiq berkata dia merancang untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta membeli polisi insurans sebagai perlindungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan