PENGURUS bengkel kereta mendakwa menjadi mangsa penganiayaan dua anggota polis selepas kenderaan pacuan empat rodanya ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Pintasan Kuantan, semalam.
Dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, mangsa Tan Wei Yoong, 47, mendakwa, diarah memberhentikan kenderaan Isuzu D-Max oleh dua anggota polis yang menaiki kereta peronda polis model Proton Inspira.
“Sebaik memberhentikan kenderaan, saya bertanya kepada seorang anggota polis terbabit mengenai apa kesalahan saya, anggota itu memaklumkan saya menyalahgunakan kenderaan dengan membawa barangan perniagaan.
“Saya jawab kepadanya kenderaan ini adalah kenderaan syarikat bukan kenderaan persendirian selain turut menunjukkan sijil pemilikan kenderaan dikeluarkan JPJ. Anggota itu tidak berpuas hati sebelum mencabut cukai jalan saya untuk diperiksa,” dakwanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Semambu di Kuantan, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.
Tan mendakwa anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan berkenaan memaklumkan cukai jalannya didaftar untuk kegunaan persendirian bukan membawa barangan sebelum bertanyakan kepadanya sekiranya ingin menyelesaikan perkara itu.
Dia mendakwa, anggota polis itu kemudian meminta bayaran RM300 sekiranya tidak mahu dikenakan saman.
“Saya cakap tidak mahu beri rasuah dan anggota itu perlu terangkan apa kesalahan saya jika ingin saman kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, kenderaan yang saya bawa adalah kenderaan syarikat,” katanya.
Beliau berkata, anggota polis itu kemudian mengeluarkan dua saman atas kesalahan tidak mempamerkan cukai jalan serta menyalahgunakan lesen kenderaan motor bagi tujuan yang lain.
Tan mendakwa, seorang daripada anggota polis terbabit mengeluarkan pistol dan gari seolah cuba menggertaknya sekiranya tidak mahu menurunkan tandatangan.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan apa yang menimpanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Beserah, di sini, malam tadi bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Sementara itu, Sim berkata, tindakan dilakukan dua anggota polis terbabit sama sekali salah dan tidak boleh diterima kerana didakwa mengeluarkan pistol dan gari untuk menakutkan mangsa.
“Mereka cuba minta rasuah sudah jadi kesalahan, keluar pistol pun salah kerana cuba takutkan mangsa. Saya minta mangsa untuk turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan laporan polis yang dibuat mangsa.
“Kita sahkan. Anggota polis bertugas juga buat laporan polis dan keluarkan dua saman, siasatan lanjut sedang dijalankan polis,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan