HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 April 2019

Pembangunan teknologi satelit penting untuk urus bencana

MALAYSIAKINI

   

Pembangunan teknologi satelit penting dalam membawa pulangan dan pembangunan kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya penggunaan teknologi itu mampu menangani isu besar di luar kawalan manusia seperti bencana atau insiden yang tidak diingini.

“Kejadian bencana alam seperti tsunami, banjir dan malapetaka melibatkan kehilangan pesawat yang menimpa Malaysia telah memberi satu dimensi baharu mengenai keperluan teknologi satelit dalam aspek pengurusan dan operasi.

“Di sinilah ramai pihak telah mula sedar mengenai perlunya sains angkasa dipelajari, difahami kerana aplikasinya terlalu banyak termasuk penggunaan satelit untuk pengurusan bencana dan kegunaan lain,” katanya dalam ucapan di majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun Planetarium Negara di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sambutan itu turut dihadiri Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Planetarium Negara yang ditubuhkan pada 1994, merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengorak langkah pertama negara dalam penerokaan angkasa lepas.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata matlamat penubuhan dan fungsi Planetarium Negara kekal relevan sehingga hari ini.

Menurutnya, Planetarium Negara telah berjaya memberi pendidikan dan kesedaran serta pengetahuan mengenai sains angkasa.

“Ia menjadi entiti yang bertanggungjawab membolehkan Malaysia menjengah ke angkasa lepas.
“Meskipun Malaysia pada ketika itu baharu berjinak-jinak dengan sains dan industri angkasa, tetapi beberapa kejayaan yang dicatat dan telah diketahui umum, termasuk penghantaran angkasawan dan pelancaran satelit menjadi penanda aras terawal tentang keupayaan kita,” tambahnya.- Bernama


Tiada ulasan: