HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 April 2019

Mohon jaga 'nyawa' pasukan

Firdaus Hashim
 
 

SEKURANG-kurang enam atau tujuh pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) didakwa tidak dilindungi insurans perjalanan ke stadium lawan sekali gus memungkin risiko ‘mati katak’ jika berlaku insiden tidak diingini.

Mendedahkan senario mengejutkan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata, ketiadaan insurans perjalanan membabitkan pasukan berkenaan ada kaitan dengan masalah kewangan yang dihadapi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terutama selepas Telekom Malaysia (TM) menarik diri daripada menjadi penaja utama.

“Kalau ikut amalan musim lalu, MFL memang tak benarkan pasukan ambil insurans sendiri sebaliknya ambil bawah mereka. MFL akan tolak bayaran insurans melalui geran tetapi untuk musim ini mereka senyap mungkin disebabkan oleh penamatan kontrak tajaan TM (Telekom Malaysia) baru-baru ini. Jadi sebenarnya apa nasib pasukan yang tidak mempunyai insurans ini.

“Bayangkan enam pasukan yang membawa lebih kurang 30 pemain dan pegawai dengan jumlah 180 orang berdepan risiko ‘mati katak’ kalau berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini dalam perjalanan ke lokasi pertandingan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Rabu lalu, Posa turut melakukan kejutan apabila mendesak supaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam segera meninggalkan MFL selepas wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pengurusan organisasi itu yang ditubuhkan pada 2015 lalu.

Desakan itu berasaskan enam ‘dalil’ mengenai kelemahan MFL iaitu kehilangan tajaan TM, jadual perlawanan bercelaru, isu penyertaan dan pembatalan Perlis, kontroversi insurans pemain, hutang MFL kepada pasukan dan isu ahli lembaga pengarah MFL.

Sementara itu, Posa mendesak Kevin supaya menjawab isu yang dilontarkan dan tidak mendiamkan diri jika benar tidak bersalah.

“Mana insurans pasukan, mana duit tuntutan pengadil dan kenapa ahli lembaga pengarah MFL bukan daripada exco persatuan negeri (FA)? Saya mahu beliau jawab segera dan kalau tak boleh jawab sila letak jawatan.

Beliau berkata, MFL cuba mengalih pandangan semua pihak dengan mengeluarkan kenyataan mengenai isu potongan 50 peratus, tetapi isu pokok yang menjadi punca kelemahan badan penganjur liga tempatan itu belum dijawab.

“Ini bukan pasal bubar MFL atau duit geran, tapi sebenarnya banyak isu kelemahan daripada MFL seperti insurans pasukan, duit tuntutan pengadil, senarai ahli lembaga pengarah (MFL) yang tidak dikemas kini, isu jadual bercelaru, isu penajaan dan isu penyertaan Perlis.

“Mereka (MFL) sengaja mengalih tumpuan dengan menaikkan isu-isu lain, malah ia tidak dijawab oleh Kevin sebaliknya daripada pengurus kelab kecil. Pergi tanya presiden setiap FA negeri yang keluarkan duit daripada hanya dapatkan pegawai bawahan seperti pengurus,” katanya.

Tiada ulasan: