HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 April 2019

‘Tonjol identiti Malaysia negara Islam, bukan bawa masuk K-Pop’

ainulillia

Usah jadikan konsert hedonisme candu memabukkan generasi muda


BANGI – Identiti Malaysia sebagai negara Islam sepatutnya diangkat dan ditonjolkan di peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Exco Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muslim Abdullah Zaik.

Tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS, ke Malaysia, Muslim kecewa kerana hiburan dijadikan taruhan untuk generasi muda bersuka-ria.

“Menteri belia sepatutnya berfikir lebih matang dan produktif, bukan semata-mata untuk populariti. Hedonisme bukanlah identiti negara Malaysia.

“Tonjolkan identiti Malaysia sebagai negara pendidikan dan hub halal, bukan buat konsert K-Pop,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq memaklumkan, pihaknya dalam usaha membawa masuk kumpulan itu ke Malaysia tahun depan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau menjelaskan kehadiran kumpulan muzik luar negara ke Malaysia bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara.

Malah, beliau berkata, pihaknya komited menjadikan Perbadanan Stadium Malaysia (PMS) sebagai hub industri hiburan yang bakal memberi pulangan kepada negara.

Mengulas lanjut, Muslim berkata, konsert hiburan seumpama itu hanya akan merosakkan jati diri generasi muda masa kini.

“Jangan jadikan konsert hedonisme sebagai candu untuk memabukkan generasi muda dari tugasan dan misi mereka yang lebih utama untuk bangunkan negara ini,” katanya.


Tiada ulasan: