HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mei 2019

Tunjuk kesyukuran jadi sukarelawan

Fazurawati Che Lah
 
 
 

“KETIKA menjalankan aktiviti mengutip derma bagi Misi Kemanusiaan Kemboja di salah satu masjid, hati saya tersentap melihat ramai peminta sedekah di keliling saya. Ada antara mereka sudah berumur dan orang kelainan upaya (OKU).

“Betapa sukarnya mereka meneruskan kelangsungan hidup hingga terpaksa meminta sedekah. Saya cuba menyelami dunia ketika aktiviti itu hingga terdetik dalam hati betapa bersyukur dan beruntungnya saya.

“Bersyukur kerana pelbagai nikmat yang saya peroleh biarpun bergelar pelajar, sedangkan antara mereka ini tidak dapat peluang seperti saya.

“Sejak peristiwa itu, saya bertekad suatu hari nanti akan menjadi sukarelawan membantu golongan seperti mereka untuk bersama merasai nikmat dalam kehidupan,” kata Mohd Afif Iszuddin Ismail, 21.

Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Jurusan Kepintaran Buatan itu gembira melakukan kerja kesukarelawanan sejak setahun lalu apabila dapat membantu pel­bagai lapisan masyarakat.


PELAJAR boleh menjadi sukarelawan di masjid untuk program iftar.
 
 
Katanya, beliau aktif menjadi sukarelawan sebaik menjejak kaki ke Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

“Saya bangga kerana tidak semua orang mampu melakukan kerja murni ini. Memang tidak dinafikan menjadi sukarelawan sesuatu yang memenatkan, malah hampir tidak cukup tidur terutama pada bulan puasa.

“Tapi kepuasan yang diperoleh sangat berbaloi dengan penat lelah yang dicurahkan, hari ke hari kehidupan menjadi lebih produktif, berbanding hanya rehat, makan dan tidur,” katanya.

Keberkatan Ramadan turut dimanfaatkan Mohd Afif untuk aktif sebagai sukarelawan dan tahun ini, dia terbabit dengan empat program sukarelawan termasuk mencari dana di masjid dan di bazar Ramadan, Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja serta projek sukarelawan di bawah Sekretariat Sukarelawan UM.

Katanya, kesibukan menguruskan kerja kesukarelawanan tidak menjejaskan pengajian kerana pembahagian waktu yang seimbang membolehkannya meneruskan pengajian dengan baik.

“Ketika kuliah, saya memberi tumpuan sepenuhnya, duduk di barisan hadapan dan terus bertanya kepada pensyarah sekiranya tidak faham sesuatu topik.

“Itu antara langkah yang membantu saya untuk memanfaatkan masa belajar. Lagi pun saya fokus pada latihan di sebelah malam sahaja.

“Waktu terluang seperti hujung minggu pula selalu­nya saya penuhkan dengan aktiviti sukarelawan di sekitar ibu negara,” katanya yang berasal dari Sekinchan, Selangor itu.

Pelbagai pengalaman dan perkara dapat dipelajari melalui aktiviti sukarelawan untuk dijadikan nilai tambah sebaik tamat pengajian kelak.


KERJA kesukarelawanan memberi pengalaman baru kepada pelajar.
 
Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Nursyazwani Ezzaty Azman pula, sejak tiga tahun lalu dia aktif sebagai sukarelawan sama ada di dalam atau luar negara.

Katanya, aktiviti kesukarelawanan pada bulan puasa memerlukan dia bekerja keras bagi memastikan kuliah dan kegiatan tidak tercicir serta dapat dijalankan de­ngan sempurna.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada rasa terbeban sebab minat. Jadi kalau sudah minat, semua jadi baik dan mudah.

“Pengajian juga tidak terganggu, sebab kalau mahu aktif, kita perlu tahu urus masa dan sebagai­nya. Selain aktif menjadi sukarelawan, kita tak boleh lupa keistimewaan Ramadan seperti Tarawih. Jadi jika ada mesyuarat projek, kami adakan selepas solat Tarawih,” katanya.

Malah katanya, banyak nilai positif diperoleh hasil sukarelawan antaranya kebersamaan iaitu saling membantu dan selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat luar.

Peluang menjadi sukarelawan pada Ramadan tidak disia-siakan penuntut Arr Rahman Mohamed Zakaria dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melakukan kerja amal di masjid Al Malik Khalid Universiti Sains Malaysia.

Arr Rahman, 21, tidak merasa penat melakukan tugas sukarelawan di masjid hampir setiap hari biarpun terpaksa ‘berkejar-kejar’ kerana perlu membahagikan masa antara kuliah dan aktiviti berkenaan.

“Saya gembira apabila ada yang menegur saya hanya kerana mencedok nasi serta lauk untuk mereka berbuka.

“Ini menunjukkan peluang menjadi sukarelawan dapat membentuk hubu­ngan baik antara saya dengan jemaah yang lain, sekali gus membentuk keyakinan dalam diri,” katanya.

Dia yang juga Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam USM sesi 2019/2020 berkata, pelajar universiti seharusnya mengambil peluang menyertai kegiatan kesukarelawanan kerana pelbagai pengalaman bakal diperoleh.

Tiada ulasan: