HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mei 2019

'Habis tangan aku'

Syaherah Mustafa
 


“HABIS tangan aku, tangan aku dah cacat.” Hanya itu yang dilaungkan Mohammad Iqbal Anuri, 13, selepas empat jari tangan kirinya hancur terkena mercun buatan sendiri Kampung Sokor, Kok Lanas, minggu lalu.

Dalam kejadian 9 malam, 18 Mei itu, Mohammad Iqbal dikejarkan ke Hospital Raja Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, untuk menerima rawatan.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohammad Iqbal berkata, sebelum itu dia bersama beberapa rakan bermain mercun bola.

Katanya, mereka kemudian berpakat meletakkan serbuk belerang mercun ke dalam botol sebelum mencucuh api menggunakan surat khabar untuk menjadikan bunyinya lebih kuat dan bergema.

“Untuk percubaan pertama, kami meletakkan serbuk belerang daripada 17 mercun bola dan ia berbunyi kuat seperti yang dimahukan

“Untuk percubaan kali kedua, kami mengambil belerang daripada 20 mercun bola dan saya mencucuhnya dan ia terus meletup secara tiba-tiba sebelum sempat mengangkat tangan.

“Ketika itu saya terkejut melihat jari yang sudah hancur dan menampakkan bahagian tulang.

“Saya hanya mampu menjerit sebelum bapa saudara bergegas membawa saya ke Klinik Kesihatan Pulau Condong dan kemudian dirujuk ke HRPZ II,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Mohammad Iqbal menerima lawatan Pengarah Kesihatan Negeri Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin yang turut menyampaikan sumbangan biskut raya kepada pesakit di Wad Cempaka.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Menurutnya, ketika di hospital doktor maklumkan empat jarinya tidak dapat diselamatkan.

“Saya menyesal dengan apa yang terjadi dan berjanji tidak akan bermain mercun,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Norhayati Baharudin, 50, berkata, dia reda dengan kejadian menimpa anaknya itu.

“Sebelum ini sudah beberapa kali saya menasihatinya, namun dia masih bermain mercun tanpa pengetahuan saya.

“Luluh hati saya mendengar berita anak terkena mercun namun bersyukur ia tidak membabitkan nyawa. Saya harap kejadian ini memberi pengajaran besar buatnya,” katanya.


Tiada ulasan: