HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mei 2019

Hentikan segera hubungan dengan tauke judi – KPN

THE MALAYSIAN TIMES


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Beliau secara sinis berkata pegawai dan anggota masih mempunyai peluang untuk menghentikan sebarang hubungan dengan sindiket haram sebelum ditahan.

Katanya pasukan tidak akan bersubahat atau melindungi mereka yang menjalankan kegiatan haram di negara ini.

“Nasihat saya, hentikan segera connection (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dan akan berusaha hapuskan gejala rasuah dalam pasukan.

“Selagi mereka (anggota polis) belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan, ia masih belum terlambat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata kegiatan judi yang berleluasa ketika ini hanya akan merosakkan tamadun.

“Saya seru tauke judi ini lakukan perniagaan yang halal kerana Malaysia banyak sumber,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kenaikan pangkat dan surat penghargaan akan diberi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah.

“Kepada orang ramai jangan sesekali menawarkan rasuah kepada polis dan agensi penguat kuasa yang lain, jika berdegil mereka akan ditangkap oleh pegawai dan anggota polis,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan beberapa anggota dalam perlakuan jenayah akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu adalah menyedihkan apabila ia turut berlaku dalam bulan Ramadan.

“Anggota yang melakukan jenayah telah ditahan serta-merta dan disiasat sebelum tindakan lanjut dikenakan kepada mereka…ini memberikan mesej jelas yang kelajuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes samun seorang ahli perniagaan pada 19 Mei. –Bernama

 

Tiada ulasan: