HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mei 2019

Bekas ketua perisik mahu cabar waran tangkap

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia 
Hasanah Abdul Hamid.
 
PETALING JAYA: Dalam perkembangan yang boleh disifatkan sebagai satu kes ujian, bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid akan mencabar waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya kerana tidak hadir semasa sesi pengurusan kes Jumaat lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan waran tangkap ke atas Hasanah, yang berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan wang berjumlah RM50.4 juta.

Peguam beliau hadir di mahkamah ketika itu.

“Kami diarahkan supaya memfailkan satu permohonan jenayah minggu ini bagi pihak Hasanah. Kami percaya perkara ini akan dirayu buat kali pertama di Mahkamah Tinggi,” kata peguam Hasanah, Shaharudin Ali dalam satu kenyataan hari ini.

“Isu terasnya ialah sama ada sesi pengurusan kes pra perbicaraan merupakan satu ‘perbicaraan’ dan sama ada wujudnya kuasa untuk mengeluarkan waran tersebut di bawah CPC (Kanun Acara Jenayah).”

“Selain itu, (permohonan ini juga memohon keputusan) sama ada pengeluaran waran tangkap itu wajar di bawah undang-undang sedia ada dan dalam keadaan sejumlah besar wang jaminan telah dibayar oleh Hasanah.”

Hasanah, 61, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan 2 penjamin.

Shaharudin berkata, Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 Februari tahun depan dan Hasanah “telah pun bersedia dan bertekad untuk hadir ke mahkamah dan menentang kes itu apabila perbicaraan bermula.”

Tiada ulasan: