HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Jun 2019

Bicara kes Shafee gubah wang haram ditetap Mac 2020

MALAYSIAKINI

   

Perbicaraan peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditetapkan pada Mac tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Farhan Read yang mewakili Muhammad Shafee memohon supaya tarikh percicaraan pada 8 hingga 11 Julai dan 15 hingga 18 Julai yang ditetapkan sebelumnya dikosongkan untuk memberi laluan bagi perbicaraan Najib berhubung kes SRC selesai dahulu.

Farhan memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes SRC, yang Muhammad Shafee ialah peguam utama, akan diteruskan pada 1 Julai dan tarikh perbicaraan bagi Julai bertindih dengan tarikh perbicaraan Muhammad Shafee.

“Perbicaraan SRC buat masa ini diutamakan dan kami memohon supaya tarikh pada Julai dikosongkan,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menjalankan pendakwaan.

Hakim Sequerah menetapkan 16 hari dari 9 hingga 13 Mac, 30 Mac hingga 2 April, 12 hingga 14 Mei dan 18 hingga 21 Mei bagi perbicaraan dan juga menetapkan 30 Ogos 2019 bagi pengurusan kes.

Pada 13 September tahun lepas, Muhammad Shafee, 66, mengaku tidak bersalah menerima wang hasil kegiatan haram melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Pertuduhan bawah akta cukai pendapatan

Dia didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September, 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari, 2014.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau sehingga penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1 )(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember, 2013 dan 31 Disember, 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac, 2015 dan 29 Jun, 2015.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Shafee berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.- Bernama


Tiada ulasan: