HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Jun 2019

Zahid dakwa ada cadangan buat persempadanan semula tambah kerusi DAP


   

Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada usaha untuk meminda perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akhirnya akan menambah kerusi DAP di Parlimen.

Presiden Umno yang sedang bercuti itu berkata ia dibuat dengan menambahkan kerusi Parlimen di kawasan bandar.

"Kita tahu (akan ada) cadangan dalam sidang Dewan Rakyat Julai nanti untuk meminda perlembagaan untuk menambah kerusi DUN dan Parlimen.

"Mungkin ada cadangan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi lebih 100,000, akan ada pertambahan kerusi (dengan pecahkan kawasan Parlimen itu). (Melibatkan) kerusi di kawasan bandar.

"Siapakah yang menjadi ahli-ahli Parlimen kawasan bandar, tentulah DAP. Ertinya DAP akan menambah ahli-ahli Parlimennya," dakwanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong, di Selayang, petang tadi.

Selain DAP, PKR juga banyak bertanding di kerusi bandar pada PRU lalu.

Misalnya di Kuala Lumpur, PKR memegang lima daripada 12 kerusi parlimen manakala DAP pula empat.

Di Selangor pula, PKR dan DAP masing-masing menguasai sepuluh dan empat daripada 22 kerusi parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata perlembagaan perlu dipinda untuk persempadanan semula sebelum PRU ke-15 kerana Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ia hanya boleh dilakukan dalam tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.

Kali terakhir ia dilakukan ialah sebelum PRU ke-14 yang lalu.


Untuk rekod, ia adalah acara rasmi pertama dihadiri Presiden Umno itu setelah enam bulan bercuti.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata badan itu sedang mengkaji sama ada persempadanan semula boleh dilakukan dalam dua tahun ini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi pemimpin DAP berhubung dakwaan Zahid ini.


Tiada ulasan: