HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Jun 2019

Kes murid kena rotan guru selesai, kata exco Johor

MALAYSIAKINI

   

Kejadian seorang guru merotan pelajar di sebuah sekolah di Johor Bahru dianggap selesai apabila pihak terlibat saling bermaafan hari ini.

BH Online melaporkan suatu pertemuan tertutup berlangsung selama sejam di antara ibu dan pelajar perempuan itu dengan guru berkenaan bersama Jabatan Pendidikan Johor di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor Bahru.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Shaharuddin Saari.

Sementara itu, Aminolhuda dipetik berkata meminta semua pihak supaya tidak memanjangkan lagi isu tersebut.

“Bagi memastikan penyelesaian yang dibuat lebih adil, jabatan tidak seharusnya mengenepikan peraturan sedia ada, di samping mengambil kira aspek kebajikan kedua-dua pihak iaitu guru dan murid.

“Pendekatan perbincangan dan permuafakatan antara pihak terbabit juga dilaksanakan di peringkat sekolah dan PPD Johor Bahru bagi menangani insiden secara holistik.

“Jabatan memandang serius insiden ini kerana membabitkan kredibiliti profesion keguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat yang digariskan Kementerian Pendidikan,” katanya, lapor BH Online.

Aminolhuda juga memaklumkan ibu pelajar itu telah menarik laporan polis, manakala guru tersebut pula memohon maaf secara terbuka.

"Terima kasih kepada PPD Johor Bahru dan pihak sekolah kerana cepat mengambil tindakan dengan mengadakan sesi permuafakatan termasuk penarikan balik laporan polis yang dibuat oleh ibu pelajar, selain guru memohon maaf secara terbuka kepada murid dan ibunya atas tindakan berkenaan.

Tiada ulasan: