Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengingatkan Umno berwaspada dengan keupayaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meskipun sokongan rakyat pada PH kini dilihat merosot.
Ini kerana, jelas bekas ketua Pemuda Umno itu, Dr Mahathir merupakan negarawan dan pakar dalam menyusun strategi.
"Dr Mahathir pemimpin negarawan ulung. Jangan ingat Mahathir tidak tahu urus politik.
"Dr Mahathir seorang strategis yang hebat," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.
Bahkan, katanya, Umno perlu meningkatkan lagi usaha dan menggandakan gerak kerja bagi meraih kembali sokongan rakyat terhadap parti itu.
Jelas Khairy, pelbagai perkara boleh berlaku menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Jelasnya, beliau yakin Dr Mahathir sedar bahawa sokongan dan populariti PH hari ini semakin merosot.
"Melayu mudah lupa, apa yang kita risau pada tahun-tahun akhir (sebelum PRU), dia keluarkan semua peruntukan yang dikumpul selama ini, habislah kita.
"PH tidak akan kekal tidak popular, dan begitu juga Umno tidak akan kekal popular," katanya memetik ungkapan Dr Mahathir.
Tambah Khairy, Umno perlu kembali kepada rakyat dan membina keyakinan rakyat seperti tahun 1957 ketika bertindak sebagai pejuang kemerdekaan selain menjadi agen penyatuan kaum ketika rusuhan pada 1969.
Dr Mahathir mencipta rekod bukan saja sebagai perdana menteri paling tua, malah membuat penampilan kali kedua sebagai perdana menteri selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun.
Beliau yang memimpin PH pada PRU ke-14 lalu menempa sejarah apabila berjaya menumbangkan BN yang menguasai kerajaan selama 60 tahun.
Dalam pada itu Khairy berkata Umno perlu berpijak pada realiti dan perlu menerima hakikat serta tidak sesekali mengulangi kesilapan lalu.
Menurutnya,
kekalahan BN pada PRU ke-14 lalu adalah disebabkan pemimpin Umno
termasuk beliau sendiri gagal menerima realiti rakyat menolak mereka
ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan