HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Jun 2019

Chegubard juga kecewa pelantikan Mohd Bakke

Manzaidi Mohd Amin
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Lagi suara kesal dan kecewa dari bekas pemimpin PKR berhubung pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Kali ini, bekas ahli seumur hidup parti itu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan Chegubard menyuarakan perkara sama sebagaimana rakannya, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata, pelantikan Mohd Bakke membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan slogan Malaysia Baharu tetap mentadbir dengan wajah lama.

“Lantikan Mohd Bakke ini sekali lagi membuktikan Malaysia Baharu berwajah lama. Untuk rekod, beliau ini selain dilantik Pengerusi Felda, beberapa bulan sebelum ini juga dilantik Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

“Cuba teka berapa belas juta (ringgit) jumlah gaji dan elaun serta kelebihan korporat yang bekas Pengarah 1MDB ini peroleh,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, Mohamad Ezam menyifatkan pelantikan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) itu sebagai keputusan songsang atau langkah ke belakang dari sudut membina Malaysia Baharu yang telus dan bernafas baru.

Beliau yang merupakan Presiden penaja Parti Negara menjelaskan, Mohd Bakke adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh perdana menteri terdahulu.

Mengulas lanjut, Chegubard memberitahu, antara masalah Barisan Nasional (BN) yang lalu ialah harta dan kekayaan serta peluang berkisar dalam kelompok sama dan yang pegang jawatan pula bisu demi kepentingan sendiri.

Maka katanya, jika ini diakui mengenai masalah BN, seharusnya PH melantik orang baharu kerana di Malaysia ini bukan sedikit kepakaran dalam pelbagai bidang, yang ada.

“Namun, pelantikan Mohd Bakke sebagai Pengerusi Felda yang baharu semalam, betul-betul mengundang kecewa ramai pihak.

“Mohd. Bakke antara pengarah dilantik kerajaan lama dalam 1MDB. Dia juga terlibat dalam banyak kegiatan dengan kerajaan lama. Kenapa watak yang sama masih diberi nyawa dan ruang dalam kerajaan Malaysia Baharu?

“Kalau setakat tokoh korporat bukankah ‘kita’ sendiri ada ramai tokoh korporat kalau bukan pro PH tapi sekurang-kurangnya ramai tokoh korporat hebat yang bersih dengan rekod baik serta tidak pernah terlibat dalam kerajaan lama,” katanya.

Beliau secara menyindir berkata, tokoh korporat lain tengok sahajalah, nanti bila masa nak jual meja, kutip derma menjelang pilihan raya kamu akan diingati. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: