HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2019

Tak putus-putus orang menziarah

Muhamaad Razis Ismail
 
 

“BIARPUN sudah 40 hari arwah meninggal dunia, orang ramai masih tidak putus-putus menziarah rumah dan kuburnya,” kata Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

Ahmad Shah, berkata pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini, jumlah orang yang berkunjung ke rumah semakin bertambah seolah-olah arwah masih ada.

Katanya, individu yang menziarah kebanyakannya tidak dikenalinya dan arwah sendiri.

“Sehingga hari ini, masih ada lagi yang datang melawat. Pada hari raya memang orang ramai tidak putus-putus datang menziarah.

“Ada yang kenal dan ada yang saya dan arwah tidak kenal. Mereka akui memang tidak kenal arwah tapi mahu mengenali arwah dengan lebih dekat kerana tersentuh dengan usaha arwah,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penutup Hari Sayyidatina Khadijah di Kota Bharu, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

AHMAD Shah menerima anugerah itu daripada Ahmad. FOTO 
Zaman Huri Isa
 
Dalam majlis itu, arwah Faziani menerima Anugerah Khas Wanita Cakna Kebajikan 2019.

Mengulas mengenai anugerah itu, Ahmad Shah Rizal menyifatkan sebagai pengiktirafan terbesar yang diperoleh arwah isterinya yang aktif dengan aktiviti kebajikan.

“Saya terharu dan bangga dengan anugerah, tapi sayangnya arwah tidak sempat menerima anugerah ini dan sebagai suami, arwah sememangnya memiliki ciri-ciri Saidatina Khadijah.

“Insya-Allah, saya akan teruskan kerja kebajikan yang dijalankan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, arwah ada berniat mahu menaja kira-kira 400 orang termasuk ahli keluarga serta kakitangan menunaikan umrah.

“Saya akan meneruskan hasrat arwah dan kini sudah ada sebahagian senarai yang difikirkan arwah untuk dibawa menunaikan arwah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Faziani maut selepas Toyota Estima dipandu suaminya merempuh lori di Pattani, Thailand,.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

Tiada ulasan: