HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2019

Rotan: Ibu Pelajar Tarik Semula Laporan Polis




Polis mengesahkan ibu kepada pelajar perempuan yang dirotan oleh gurunya baru-baru ini, telah menarik balik laporan polis dibuat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, walaupun penjaga pelajar terbabit berbuat sedemikian, pihaknya tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Berkaitan dengan kes rotan yang mana seorang pelajar kena pukul dengan guru dia, repot memang sudah dibuat. Kita siasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ibu kepada pelajar tersebut telah mengambil keputusan untuk menarik balik repot. Mungkin dia ada perbincangan.

“Dalam aspek itu, itu adalah urusan peribadi. Tetapi urusan pihak polis, siasatan diteruskan,” katanya pada sidang media Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor di EcoWorld Business Centre, Eco Tropics di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.

Tiada ulasan: