HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Jun 2019

TUN MAHATHIR AKHIRNYA SEDAR BELIAU HANYALAH PERDANA MENTERI SEMENTARA…



Berikut adakah antara petikan temubual terbaru antara Tun Mahathir Mohamad dengan akhbar mingguan ekonomi, Fokus Malaysia:-

“Saya bertuah untuk hidup selama ini. Sebenarnya, saya tidak patut hidup lagi untuk menyaksikan apa yang berlaku terhadap pengganti saya tetapi saya bernasib baik kerana saya bukan sahaja tua tetapi masih berupaya berfungsi.

“Tapi saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi saya akan kehilangan kudrat dan saya akan mati.

“Jadi, saya tergesa-gesa. Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi saya hendak cepat kerana saya sedar saya sudah tidak banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat di negara ini.

Dr Mahathir juga maklum beliau cuma perdana menteri sementara dan bersedia melepaskan jawatan itu apabila tiba masanya.

“Mereka (PH) telah berkata saya hanya (perdana menteri) sementara dan akan ada orang lain yang akan mengambil alih.

“Saya fikir masanya mungkin lama sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan.”

Ini adalah suatu perkembangan yang baik yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir di mana beliau akhirnya mengakui kedudukannya hanyalah sebagai Perdana Menteri sementara saja.

Sebelum ini, beliau tidak pernah mengungkapkan perkataan sementara itu apabila ditanya berhubung kedudukannya.

Apa yang kerap disebutnya ialah ialah bellau mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang daripada tempoh itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Di suatu ketika beliau mengusik Anwar agar memberinya tempoh untuk menjadi Perdana Menteri sehingga dua tahun setengah.

Kekaburan pendiriannya itulah yang antara lain menyebabkan berlakunya keretakan dalam PH, di samping tindakan Tun Mahathir sendiri yang dilihat cuba menonjol-nonjolkan pemimpin terentu secara berlebihan seolah-olah sedang dipersiapkan untuk menggantikan tempatnya.

Atas kedudukannya sebagai cuma Perdana Menteri sementara, selain kerana soal penggantinya sudah ditetapkan, sikap Tun Mahathir itu adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

Sejak awal sebelum PRU14 lagi telah dipersetujui bahawa Tun Mahathir hanya Perdana Menteri untuk suatu tempoh tertentu saja sebelum beliau wajib menyerahkan jawatannya kepada Anwar Ibrahim.

Untuk itu, sikap yang sewajarnya ditunjukkan oleh Tun Mahathir ialah menepati janji dan sentiasa berpegang kepada janji peralihan kuasa itu.

Blog ini telah acapkali mengingatkan PH, termasuk kepada Tun Mahathir sendiri bahawa beliau hanyalah Perdana Menteri sementara dan tidak ada pilihan lain selain mesti menepati janjinya berhubung penyerahan jawatan kepada Anwar itu.

Jika itu tidak dilakukan, ia bukan saja mencemarkan nama baiknya sebagai negarawan, dilihat masih berpolitik secara jahat, malah sudah tentu akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam PH yang sekaligus akan memberi kelebihan kepada UMNO/BN merampas semula kuasa di Putrajaya.

Antara tulisan itu ialah pada 4 Januari 2019 yang bertajuk “Tun Mahathir hanya Perdana Menteri sementara, tolonglah jangan mengada-ngada – http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/01/tun-mahathir-hanya-perdana-menteri.html?m=1

Alhamdulillah kini Tun Mahathir, dalam usianya menginjak 94 tahun, nampaknya semakin sedar mengenai kedudukan dirinya yang hanya bersifat sementara itu.

Diharapkan, pendirian beliau ini kekal sehingga peralihan kuasa yang dijanjikan benar-benar berlaku dan tidak berlaku lagi sebarang “U-Turn” atau masuk simpang di sana sini sebelum ke destinasi yang telah dipersetujui dan dimuktamadkan dalam PH sebelum ini.

Tiada ulasan: