HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Jun 2019

Peguam Azmin tepis cabaran saman Haziq atas skandal seks gay

Haziq Aziz bertegas dirinya bukan penipu dan mahu isu video 
seks sejenis dibawa ke mahkamah supaya rakyat ‘boleh melihat 
buktinya sendiri’. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Peguam yang mewakili Azmin Ali menolak cabaran Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz untuk menteri hal ehwal ekonomi itu membuat laporan polis dan mengheretnya ke mahkamah atas skandal video seks sejenis.

“Kami tidak bertindak atau respons terhadap cabaran untuk mendapatkan perhatian sedemikian,” tulis N Surendran di Twitternya hari ini.

“Semua maklum balas undang-undang dilakukan berdasarkan kesesuaian, mengikut jadual waktu kami dan bukannya pihak lain.”

Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.
Bekas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Susulan itu, Haziq ditahan dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Hari ini, Haziq bertegas beliau bukan penipu.

Katanya, beliau mahu perkara itu dibawa ke mahkamah supaya rakyat “boleh melihat buktinya sendiri”.

Beliau turut menggesa Azmin membuat laporan polis terhadapnya.

Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham sudah membuat laporan polis berhubung isu itu dan Azmin pula diambil keterangannya oleh polis.

Tiada ulasan: