HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Jun 2019

Pemandu teksi ancam jatuhkan Pakatan Harapan

Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media khas mengenai kerajaan jangan pandang remeh isu pemandu teksi berdemo di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,
 
KUALA LUMPUR – Pemandu teksi di seluruh negara tidak menolak kemungkinan untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kebajikan dan masalah golongan itu masih dipinggirkan sehingga ke hari ini.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd. Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, kesal dengan sikap ‘pilih kasih’ Kementerian Pengangkutan, pihaknya komited untuk mengalihkan sokongan 85,000 pemandu teksi daripada PH kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Menurut Shamsubahrin, bagi tujuan itu beliau akan membuat Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kepimpinan BN dan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam masa terdekat.

“Saya akan mengadakan satu temujanji dengan BN dan Tok Mad, saya nak buat satu MoU atas sokongan kita kepada BN pada pilihan raya akan datang.

“Sekiranya kita dapat kembalikan BN, kita nak Tok Mad membela industri teksi kita, saya akan hantar surat kepada Tok Mad minggu depan.

“Lebih baik kita sokong orang yang kita percaya, buat apa kita orang yang tak boleh percaya, lebih baik kita sokong Tok Mad, sudah tentu dia boleh bagi apa yang kita nak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Central, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Shamsubahrin didakwa berjaya mengumpulkan sokongan pemandu teksi hingga 95 peratus kepada PH dalam PRU14 pada 9 Mei lalu.

Sokongan itu dicapai selepas kempen jom ubah kerajaan yang dilancarkan pihaknya tiga hari sebelum hari mengundi oleh pihaknya.

Ia susulan perkhidmatan e-hailing yang diperkenalkan Kerajaan BN sebelum ini didakwa mengancam ‘periuk nasi’ pemandu teksi sedia ada dan PH pula berjanji menghapuskan pesaing baharu dalam pengangkutan awam itu.

“Kita sebulat suara menukar Kerajaan Pusat kepada PH dengan dijanjikan apabila mereka berkuasa, Grab akan dihapuskan, sudahlah tak dihapuskan, lagi sokong ada lah.

“Dengan PH kita tak tandatangan MoU, tapi kita sebulat suara menyokong sebab atas apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan SPAD terhadap industri teksi

“Pada PRU14 lalu, kita ada lancarkan kempen jom ubah kerajaan, kalau dia (PH) tak buat sesuatu, kita akan lancar lagi kempen ini sekali lagi,” katanya.

Shamsubahrin juga akan berbincang dengan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) dan mana-mana pemimpin pemandu teksi di seluruh negara bagi memastikan mereka memberi sokongan bertulis itu kepada BN.

“Saya akan berjumpa dengan pemimpin GTSM dan beberapa ketua teksi, saya akan mengadakan perbincangan dan saya akan bawa mereka sekali berjumpa dengan Tok Mad,” katanya.

Katanya lagi, walaupun sebelum ini mereka memberi sokongan kepada PH untuk mentadbir Putrajaya, namun beliau akui kini mereka menyesal menukar Kerajaan Persekutuan.

“Pemandu teksi sekarang sudah menyesal sokong PH, saya sendiri pun dah menyesal sokong PH,” luahnya.

Tambahnya, walaupun Kerajaan BN sebelum didakwa terkenal dengan budaya rasuah, namun masih memberi bantuan kepada golongan pemandu teksi dengan pelbagai insentif.

“Lagi baik kita sokong balik UMNO-BN, sekurang-kurangnya dapat tayar percuma, kad minyak percuma, walaupun dulu kita tak suka dulu pasal isu Grab dan Uber.

“Walaupun kita tahu dia (UMNO-BN) berasuah, lantak lah. Ini kita tahu dia (PH) tak rasuah, tapi tolong pun tidak, sebelum kau dapat jawatan janji macam-macam, jangan asyik salahkan orang, cermin diri sendiri.

“Timbalan Menteri Pengangkutan boleh cakap dia sudah bantu banyak pemandu teksi, apa yang dia bantu? Sekarang saya pun dia tak kenal, orang politik (PH) memang tak boleh percaya.

“Pemandu teksi akan lakukan apa saja demi untuk mengharamkan Grab ataupun menyamaratakan industri teksi (e-hailing dan teksi),” ulasnya.

Katanya lagi, beliau masih berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan dan membuat rombakan Kabinet khususnya Kementerian Pengangkutan.

“Harapan saya Anwar jadi PM dan letak Nurul Izzah sebagai Menteri Pengangkutan, dia layak, dia ada otak, orang berpelajaran, lebih tinggi daripada Anthony Loke.

“Tolak tepi tali persaudaraan anak bapa, tapi dari segi profesionalisme, dari segi kerja, Nurul Izzah lebih layak diangkat ke jawatan Menteri Pengangkutan daripada Anthony Loke,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: