HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Jun 2019

Pelajar, guru pengsan beberapa jam lepas sekolah dibuka


 
Baru beberapa jam sesi persekolahan di kawasan Pasir Gudang bermula setelah semua sekolah di situ diarahkan tutup Selasa lepas, gangguan kesihatan berupa sesak nafas dan muntah-muntah kembali menghantui beberapa sekolah di kawasan sama.

Wartawan Bernama yang ditugaskan untuk membuat liputan sekolah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok pada kira-kira 8.30 pagi tadi, menyaksikan sendiri insiden itu yang mana beberapa pelajar dan guru pengsan, di depan mata.

Selain sekolah itu, difahamkan turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Seri Alam Dua, SK Taman Pasir Putih, SK Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Plentong, SMK Taman Nusa Damai dan SK Taman Cendana.

Sekurang-kurangnya tiga ambulans daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Sultan Ismail dikejarkan ke sekolah berkenaan dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Ibu bapa pelajar juga turut kelihatan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, tiada pengesahan berapa jumlah pelajar yang terlibat.

Beberapa mangsa pula kini, dipercayai sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan klinik kesihatan terdekat untuk diberi rawatan awal.

Stadium itu sebelum ini dijadikan oleh pihak berkuat kuasa sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit.

Sementara itu, usaha untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.- Bernama


Tiada ulasan: