HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2019

Bekas hakim ketuai pasukan khas siasat laporan Suhakam berkait kehilangan paksa

Muhyiddin Yassin (depan, tengah) mengadakan sidang media 
di Putrajaya hari ini bersama Abd Rahim Uda (depan, kanan), 
Muhammad Bukhari Ab Hamid (belakang, 2 dari kanan) dan 
Zamri Yahya (belakang, tengah).
 
PUTRAJAYA: Kerajaan melantik bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas itu diberi 6 bulan untuk menjalankan siasatan dalaman dan menyediakan laporan mengenai kehilangan 2 individu itu.

“Seramai 6 ahli pasukan yang dilantik dan diberi masa 6 bulan menjalankan siasatan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Dengan adanya pasukan ini, diharap dapat beri keadilan kepada semua pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Ahli lain dalam pasukan itu adalah bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mohktar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid, pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah yang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Muhyiddin berkata, majoriti ahli pasukan petugas khas itu ialah pegawai polis, tetapi mereka tiada kaitan dengan Cawangan Khas yang didakwa terbabit dalam kehilangan Amri dan Koh.

“Kita tidak mahu anggap badan ini polis siasat polis, sebab itu kita lantik bekas hakim untuk ketuainya…kita yakin (dengan) mereka yang datang dari polis (tetapi) bukannya dari unit Cawangan Khas.

“Mereka tidak harus terpengaruh sebab itu kita ambil masa sedikit. Biar pasukan petugas khas ini buat kerjanya dahulu tanpa ada sebarang gangguan.

“Mereka diberi tugas mencabar dan saya yakin apa yang berbangkit akan diselesaikan dalam tempoh masa ditetapkan dan saya harap sekiranya berjalan lancar, semuanya lebih cepat.”

Katanya, beliau tidak akan mencampuri siasatan pasukan petugas khas itu, terpulang kepada mereka jika mahu memanggil semula saksi dalam inkuiri Suhakam.

“Pasukan petugas khas akan menyiasat semula laporan dikeluarkan Suhakam, manakala bagi kes kehilangan Koh, siasatan pasukan ini hanya akan dilaksanakan setelah selesainya perbicaraan mahkamah bagi mengelakkan subjudis.”

Ditanya jika ada keperluan untuk memanggil bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar, Rahim berkata, setakat ini tiada.

Tiada ulasan: