HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Jun 2019

Nyawa kerajaan PH ‘tak panjang’, sedia hadapi pilihan raya awal, kata Tuan Ibrahim

MINDA RAKYAT


KUANTAN: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak bertahan lama berikutan pelbagai isu yang melanda gabungan kerajaan itu.

Justeru katanya, ahli dan jentera PAS perlu bersiap sedia dengan kemungkinan berlakunya pilihan raya umum ke-15 lebih awal.

“Dengan kemelut politik dalaman PH dan kemelut dalaman parti mereka, dengan isu rakyat tidak selesai dan kemelut kewangan negara, saya, kita, melihat ‘nyawa’ PH tak panjang.

“Bersiaplah semua. Jentera parti, hadapi kemungkinan pilihan raya lebih awal daripada yang kita jangka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-65 di sini, hari ini.

“Seluruh jentera parti, cawangan bersiap sedia hadapi pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Empat garis panduan kerjasama PAS-Umno

Dalam ucapannya itu, Tuan Ibrahim turut menggariskan 4 panduan dasar yang perlu dipatuhi ahli dan pimpinan PAS dalam menjalin hubungan kerjasama dengan Umno.

Katanya, 4 syarat itu ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama dan perlu dipatuhi semua pihak dalam parti.

Katanya, antaranya ialah segala polisi dan dasar kerjasama kedua-dua parti hanya boleh diputuskan Jawatankuasa Induk Kerjasama PAS-Umno setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

“Negeri, kawasan dan cawangan tidak boleh membuat keputusan. Ini melibatkan soal agihan kerusi, calon dan perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, PAS di peringkat negeri, cawangan dan kawasan dibenarkan membuat program bersama Umno demi pengukuhan kesatuan ummah.

“Asalkan program ini tidak melibatkan keputusan polisi,” katanya.

Menurut beliau, garis panduan itu juga menetapkan kerjasama hendaklah dijalin dengan menghormati dasar parti masing-masing.

“Pemimpin tak dibenarkan terlibat dalam program dalaman parti lain. Contohnya seperti menjadi perasmi mesyuarat agung Umno walaupun dijemput.

“Kita juga tak membenarkan ahli PAS menjadi petugas khas parti lain demi mengelakkan salah faham dan spekulasi. Bagi kita, urusan dalaman setiap parti adalah hak parti tersebut,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, garis panduan terakhir ialah pimpinan dan ahli PAS dibenarkan menjadi tetamu jemputan dalam program anjuran Umno.

“Dibenarkan untuk membuat pengisian, sama ada sebagai penceramah, ahli panel atau pentazkirah kepada parti rakan kerjasama kita. Inilah ruang dakwah yang boleh diambil untuk perkasakan agenda Islam,” katanya.

Kerajaan PH perlu tegas sekat fahaman Syiah

Dalam ucapan sama, Tuan Ibrahim mendesak kerajaan supaya bersikap tegas mengekang penyebaran fahaman Syiah yang difatwakan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak di Malaysia.

“Kita minta kerajaan supaya lebih tegas, jangan biarkan (Syiah) berkembang sebab ia bercangah dengan fatwa yang dibuat pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pertembungan antara fahaman Sunni dan Syiah dalam dunia Islam memberi ruang kepada musuh menjadi pencelah yang melaga-lagakan umat Islam supaya berpecah.

Tiada ulasan: