HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Jun 2019

Amanah selar PAS kerana perlekeh bahasa Inggeris Mat Sabu

MALAYSIAKINI

   

Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyarankan ahli PAS supaya mempamerkan akhlak dan contoh lebih baik selepas seorang perwakilan parti itu pada mukmatar parti itu, baru-baru ini memperlekehkan penguasaan bahasa Inggeris Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Pada muktamar PAS baru-baru ini sekali lagi acara memperlekehkan orang dari parti lain berlaku lagi.

“Seorang wakil dari PAS negeri Selangor telah menyindir penyampaian Mohmad Sabu bertutur bahasa Inggeris di satu mesyuarat di Singapura baru-baru ini.

“Sikap menganggap diri dan partinya serba sempurna adalah budaya sebahagian ahli jawatankuasa tertentu PAS sekarang ini walaupun Islam meminta umat Islam merendahkan diri serta senantiasa muhasabah diri atas kekurangan kita di mata Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lawan presiden Amanah itu membidas ucapan Mohamad pada Dialog Shangri-la - sidang kemuncak keselamatan IISS Asia ke-18 di Singapura pada 1 Jun lalu.

Isu ini dibangkitkan oleh perwakilan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir yang memaklumkan muktamar PAS Sabtu lalu bahawa dia boleh berbahasa Inggeris jauh lebih baik daripada Mohamad.

Menurut Raja Bahrin, PAS sendiri pernah memilih Mohamad sebagai timbalan presiden mereka suatu ketika lalu, tetapi hari ini memilih untuk memperlekehkannya.

“Lupakah mereka orang yang mereka sindir ini pernah dipilih oleh ahli parti PAS sendiri sebagai timbalan presiden PAS semasa zaman Almarhum Nik Abdul Aziz (Nik Mat) menjadi mursyidul am PAS dan beliau hari ini adalah menteri pertahanan iaitu seorang menteri kanan.

“Lupakah mereka Mat Sabu sangat popular dan sering dijemput oleh ahli PAS sendiri dahulu atas sebab bakat berpidato beliau? Hanya kerana beliau beralih parti tidak membuat beliau kurang berkebolehan dan bijak berfikir serta berhujah.

“Dahulu saya sering di minta olih AJK PAS untuk menjemput Mat Sabu untuk berceramah di Terengganu kerana bakat hujah serta pidato beliau akan memastikan kutipan wang yang banyak di ceramah-ceramah beliau untuk PAS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli PAS kini menyindir Mohamad hari ini kerana iri hati atas rezeki yang di kurniakan Allah ke atasnya.

Mohamad adalah timbalan presiden PAS dari 2011 hingga 2015. Beliau menubuhkan selepas sebahagian besar pemimpin progresif dalam PAS “dibersihkan” pada pemilihan parti 2015.

Raja Bahrin berkata Mohamad adalah seorang yang “berterus terang serta ikhlas” dan beliau mengakui dirinya meninggalkan kursus pengajian di MARA tanpa menamatkan pengajian penuh demi mengejar perjuangan sebagai seorang aktivis.

“Adakah semua yang ke Mesir, Jordan dan negara Timur Tengah lain untuk menuntut ilmu bidang syariah, agama dan bahasa Arab tanpa menamatkan pengajian mereka mengisytiharkan status kelulusan akademik sebenar mereka hari ini?

“Ada yang tidak menamatkan pengajian mereka di Timur Tengah tidak mengistiharkan status sebenar tetapi ‘berkhidmat’ di dalam masyarakat seolah olah mereka mempunyai kelulusan ijazah penuh.

“Sebelum menyindir dan cuba merendahkan pihak lain, saya mohon ahli PAS Selangor tersebut mengkaji juga sejarah dan sahabat kenalan sendiri dahulu,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan ungkapan “akhlak mencerminkan hati dan kesucian perjuangan seseorang dan partinya.”


Tiada ulasan: