HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Jun 2019

Peniaga makanan jual dadah

Nurul Hidayah Bahaudin
 
 

POLIS menahan lelaki yang aktif mengedar dadah sejak lima tahun dalam serbuan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, di Kuala Lumpur, pada 20 Jun lalu.

Dalam serbuan 11.15 malam itu, pihak polis berjaya merampas 11 ketulan ganja mampat seberat 9,000 gram dan 3,000 pil eramin dianggarkan bernilai RM67,500.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, ketika serbuan dilakukan, bertindak atas maklumat diterima, pihaknya menahan lelaki berusia 33 tahun terbabit bersama satu ketulan ganja mampat dianggarkan seberat 17.6 gram.

“Penahanan lelaki itu membongkar tempat simpanan bekalan dadah yang diletakkan di dalam stor belakang rumahnya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, dalam serbuan dilakukan 11.45 malam, hari yang sama.

“Pemeriksaan di dalam stor terbabit, kami menemui 11 ketulan ganja mampat seberat 9,000 gram dan 3,000 pil eramin dianggarkan bernilai RM67,500 selain wang tunai RM1,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit yang bekerja sebagai peniaga makanan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak 2014.

“Soal siasat dilakukan mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah dari negeri di utara.

“Ia kemudian dijual kepada pelanggan sekitar Lembah Klang termasuk remaja di Kampung Baru dengan harga lingkungan RM100 bagi setiap paket ganja seberat 17.5 gram,” katanya.

Beliau berkata, semua dadah yang dirampas boleh digunakan lebih 3,000 penagih.

“Semakan mendapati suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan pada 2016.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif eramin 5 dan amphetamine,” katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Jun nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Tiada ulasan: