HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Jun 2019

Putra kesal tiada tindakan tutup kilang di Pasir Gudang

Manzaidi Mohd Amin
Dr. Asmah Razalli
Dr. Asmah Razalli
KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah  proaktif untuk menangani kes pencemaran bahan kimia dan gas beracun di Pasir Gudang, Johor yang berulang sejak tiga hari lalu.

Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu tegas mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menutup kilang haram serta yang bertanggungjawab menyebabkan berlaku pencemaran.

Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli menegaskan, pencemaran kimia atau gas boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan individu sama ada akut secara cepat mahupun jangka panjang.

Katanya, menjadi mangsa ialah pelajar dan penduduk yang tidak berdosa dan mereka diselubungi pencemaran kimia beracun akibat kerakusan wang dari industri secara terang-terangan.

“Kilang haram dan kilang yang bertanggunjawab dengan kejadian ini harus segera ditutup tanpa berdolak dalih, manakala dalang terlibat harus didedahkan kepada umum dan dibawa ke muka pengadilan.

“Kita terkejut dan sedih dengan nasib menimpa lebih 50 pelajar di sekitar Pasir Gudang, Johor yang muntah, loya, pening dan pengsan disyaki terlibat mengalami simptom pencemaran kimia gas beracun.

“Mereka ini (pelajar) yang disyaki terkena simptom itu adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Taman Megah Ria, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan SK Pasir Puteh 2,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pelajar yang loya, pening, muntah dan pengsan akibat pencemaran itu dikejarkan ke pusat rawatan awal di stadium tertutup MPPG sejak jam 8.30 pagi tadi.

Sebanyak 16 sekolah telah diarahkan ditutup selama empat hari dalam radius pencemaran sekitar enam kilometer Taman Mawar semalam oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Kata Asmah, Wirawati Putra mengambil berat isu kesihatan pelajar yang masih muda serta penduduk Pasir Gudang dalam radius lingkungan pencemaran. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: