KUALA LUMPUR – Selepas sembilan tahun, pertikaian berhubung tuntutan royalti minyak antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan selesai sepenuhnya hari ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Ini berikutan Kerajaan Negeri Kelantan menarik balik tuntutan saman terhadap Kerajaan Persekutuan yang difailkan pada 2010, melalui notis untuk tidak meneruskan saman itu di Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Datuk Ahmad Bache kemudiannya membatalkan saman itu tanpa kebebasan untuk menfailkan saman baru dan atas persetujuan kedua-dua pihak. Hakim juga tidak membuat perintah terhadap kos.
Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris mewakili Kerajaan Persekutuan yang merupakan defendan kedua dalam saman itu.
Pada 21 Mei lepas, Kerajaan Negeri Kelantan telah menarik balik saman sama terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang dinamakan sebagai defendan pertama melalui notis pemberhentian saman yang difailkan pada 13 Mei lepas.
Pada 2 Julai 2014, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi di sini dan diselesaikan melalui hujahan berkaitan isu undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Kaedah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Dalam keputusan itu, panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes itu yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kes saman sivil itu ditentukan menerusi isu undang-undang.
Bagaimanapun, pendengaran berhubung isu undang-undang di Mahkamah Tinggi belum lagi didengar.
Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Negeri selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan tunggal.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan, Kerajaan Negeri menuntut syarikat minyak itu membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa hadapan bagi hasil minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai Kelantan, seperti yang termaktub dalam perjanjian carigali petroleum.
Kerajaan Negeri itu turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap Petronas.
Dalam saman itu, Kerajaan Negeri itu menyebut bahawa dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, ia jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha cari gali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.
Dakwanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada atau sebelum 1 Mac dan satu lagi sebelum 1 Sept.
Pada 7 Mac lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat selesai. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan