HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Jun 2019

Selama 20 tahun sungai jadi ‘tandas’

Kasthuri Jeevendran
MGF180619_PEMBINAAN-TANDAS05
Mariam Abdullah menggunakan tandas yang baru dibina dengan kerjasama Mercy Malaysia di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA KRAI – Bolehkah anda bayangkan bagaimana hidup tanpa kemudahan tandas yang sempurna selama 20 tahun?

Selama tempoh itu, penduduk terpaksa bergantung kepada air sungai, selain kadangkala ‘meminjam’ tandas jiran jika ‘kecemasan’.

Tetapi itulah realiti yang berlaku kepada beberapa penduduk di kawasan pedalaman di Kampung Sungai Pagar, Kuala Krai.

Meskipun perkara itu sukar bagi sesetengah di antara kita, namun bukan kepada penduduk setempat di situ.

Bukan mereka tidak tahu akan kesedaran tentang kebersihan dan penularan penyakit, tetapi kehidupan mereka serba miskin –  boleh diumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pada mereka, membina tandas pastinya menelan kos melangkaui pemikiran serta kapasiti diri, lantaran itu adalah lebih mudah  menggunakan tandas orang lain atau sungai berdekatan rumah.

Namun, masalah mereka itu dapat dihidu oleh Mercy Malaysia dan dengan sumbangan Maybank Islamic, keperluan asas itu disediakan kepada penduduk terbabit.
MGF180619_PEMBINAAN TANDAS04
Penduduk, Mariam Abdullah, 47, bercakap selepas pembinaan 
tandas yang baru dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan 
(Mercy) Malaysia di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. 
foto SYAFIQ AMBAK
Seorang penduduk Kampung Bukit Pagar, Mariam Abdullah, 47,  melahirkan rasa sayu kerana terpaksa meminjam tandas beberapa penduduk sekitar jika keadaan ‘terdesak’ selama lebih 17 tahun.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu memberitahu, suaminya hanya seorang penoreh getah dengan gaji harian tidak sampai RM700 sebulan menyebabkan tidak mampu fikir untuk mempunyai tandas sendiri.

“Kami bukan orang senang, dari dulu sampai sekarang, hanya tahun lepas impian untuk ada tandas itu menjadi kenyataan melalui Mercy Malaysia.

“Sebelum ini hanya guna tandas jiran-jiran yang ada. Lebih 17 tahun seperti itu sehingga tidak fikir untuk mempunyai tandas sendiri.

“Selalunya guna sungai sahaja, kalau terdesak sangat baru guna  tandas jiran, selalunya untuk mandi. Jika mahu membuang, kami guna sungai sahaja.

“Kehidupan kami juga sangat susah. Suami hanya penoreh getah, saya duduk rumah jaga anak. Tidak boleh bekerja. Apabila gaji kecil sahaja, kami tidak mampu fikir besar-besar.

“Air juga tidak bersih, tapi apa yang kami mampu lakukan. Tidak mampu, bukan kami mahu hidup seperti ini tetapi ini sahaja kami boleh lakukan untuk terus hidup,” katanya sayu.
MGF180619_PEMBINAAN TANDAS07 (1)
Penduduk, Mariam Abdullah, 47, mengemas barangan dapur 
di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ 
AMBAK
Mercy Malaysia melalui dana daripada Maybank Islamic telah telah melaksanakan beberapa projek kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta projek pembinaan seperti tandas ini.

Sepanjang tahun lepas dan tahun ini sahaja sebanyak tujuh buah rumah sekitar Kuala Krai telah mula menikmati kemudahan seperti tandas, selain kerja-kerja baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM70,000.

Jumlah keseluruhan yang disumbangkan oleh Maybank Islamic adalah sebanyak RM500,000 untuk program WASH bagi seluruh Kuala Krai.

Jelas Mariam lagi, Mercy Malaysia dan Maybank Islamic berjasa besar dalam memastikan mereka mempunyai kemudahan tandas sendiri, yang pastinya tidak mampu dimiliki jika terpaksa mengeluarkan kos daripada poket sendiri.

“Rasa syukur sangat dan Allah sahaja dapat balas jasa mereka sebenarnya. Mereka juga mengajar kami tentang kepentingan kebersihan diri dan persekitaran juga untuk kebaikan semua,” ujarnya.

Tiada ulasan: