HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Jun 2019

Kalau mesyuarat MPP di Bangkok, saya boleh hadir – Azmin

Nizam Zain

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama timbalannya, Mohd Radzi Md Jidin (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penjawat awam yang hadir pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Ketiadaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di ibu pejabat itu semalam kerana beliau berada di Bangkok, Thailand.

Dengan nada menyindir, Mohamed Azmin menegaskan, sekiranya mesyuarat parti diadakan di negara jiran itu, beliau tidak keberatan untuk hadir dan mengambil bahagian.

“Saya tidak hadir sebab saya berada di Bangkok. Kalau buat mesyuarat MPP di Bangkok, mungkin saya boleh hadir.

“Kalau saya ada di sini (Malaysia) saya hadir, kalau tak ada, tak boleh laa (datang),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan dari ibu pejabat PKR dan negeri, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Dewan Merdeka PWTC.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa tidak adil untuk mempersoalkan ketiadaan Timbalan Presiden PKR, itu dalam beberapa mesyuarat parti sejak kebelakangan ini.

Menurut Anwar, tidak perlu timbul persoalan sedemikian dalam situasi yang sangat menyukarkan terutama ketika Mohamed Azmin berdepan fitnah penularan video seks luar tabii yang mirip wajahnya dan Ketua AMK Cabang Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Ketidakhadiran Mohamed Azmin dalam beberapa mesyuarat PKR termasuk Biro Politik sebelum ini kerana beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-34, serta Sidang Kemuncak yang berkaitan di Bangkok, Thailand, dari 20 sehingga 23 Jun lalu.

Selain Mohamed Azmin turut mengiringi Dr Mahathir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: