SEBANYAK 71 tan dadah bernilai RM213 juta dirampas bagi tempoh dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, jumlah rampasan itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu 96 tan.
“Jika dilihat pada statistik bagi tempoh tiga tahun lalu, terdapat peningkatan jumlah rampasan dadah iaitu 50 tan direkodkan pada 2016 dan jumlah itu meningkat 36 tan kepada 86 tan pada 2017.
“Rampasan dadah direkodkan terus meningkat 10 tan kepada 96 tan bagi tahun lalu.
“Jumlah itu dijangka meningkat berdasarkan tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu yang sudah merekodkan rampasan 71 tan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
“Syabu mencatatkan peningkatan jumlah rampasan paling ketara iaitu 253 peratus dengan 1.7 tan dadah itu dirampas pada 2017 dan meningkat kepada 4.6 tan pada 2018.
“Dari 1 Januari lalu hingga 15 Jun lalu 3.3 tan rampasan syabu sudah direkodkan.
“Selain itu, ekstasi merekodkan peningkatan 78.5 peratus apabila 80.50 kilogram (kg) dadah itu dirampas pada 2017 sebelum jumlah rampasan meningkat kepada 143.7 kg pada 2018 dan terus meningkat kepada 457 kg tahun ini (Januari hingga 15 Jun lalu).
“Bagi heroin pula, berlaku peningkatan 64.4 peratus iaitu 445 kg dadah terbabit dirampas pada 2017 dan meningkat kepada 731.5 kg pada 2018. Bagi tahun ini sehingga 15 Jun lalu, 38.7 kg heroin dirampas,” katanya.
Beliau berkata, 89,904 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, 40,072 individu yang ditahan didapati positif dadah manakala 31,978 individu ditangkap kerana memiliki dadah selain 12,854 individu ditahan kerana membekalkan dadah.
“Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, 79,350 individu ditahan adalah warga tempatan manakala 5,554 individu adalah warga asing,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan